Baru-baru ini seramai 13 orang anak-anak yatim telah diberikan sumbangan ke atas kejayaan cemerlang mereka di dalam bidang pelajaran. Sumbangan tersebut datangnya daripada Tabung Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk anak-anak yatim (DANA). Kita boleh baca sepenuhnya di sini. Syukur kehadrat illahi kerana mereka-mereka yang yatim piatu masih lagi mendapat perhatian di dalam negara kita.
Membaca berita tersebut membuatkan kita berfikir sejenak mengenai tulisan yang pernah kita tulis di dalam blog ini mengenai negara kita memberikan elaun ataupun gaji kepada semua-semua anak-anak sekolah kita bermula dari peringkat pra hingga ke doktoran. Kita boleh baca mengenainya di sini. Sekiranya ini kita lakukan nescaya bukan sahaja 13 orang yang boleh cemerlang malah pulohan ribu rakyat dan penduduk negara kita juga boleh turut cemerlang.
Kita percaya pemberian gaji atau elaun ini boleh menjadi satu dorongan yang kuat kepada ibu-bapa dan penjaga untuk memastikan anak-anak mereka untuk terus hadir ke sekolah dan belajar. Begitu juga halnya dengan orang-orang dewasa. Kita yakin dengan adanya inisiatif pemberian wang ini, ramai daripada kita akan terus berusaha untuk menimba ilmu.
Mungkin ada sesetengah daripada kita kurang bersetuju dengan cadangan ini dengan alasan tidak semua orang mahu belajar dan boleh berjaya. Maka dalam hali ini, memang tidak dinafikan ada sesetengah daripada kita akan duduk di dalam kelas macam batu. Namun begitu kita yakin tidak semua pisang itu di dalam satu tandan semuanya buruk. Masih ada daripada kita yang mempunyai niat untuk terus belajar dan menimba ilmu dan meraih kejayaan. Setentunya perkara ini walaupun kecil bilanganya akan memberi manfaat yang besar kepada negara kita.
Apa-apa pun jua, menggalakkan lebih ramai orang lagi untuk menghadiri persekolahan sama ada kanak-kanak atau orang dewasa, dengan apapun jua cara, yang pastinya ianya akan membantu negara kita. Sesungguhnya pada abad ke 21 ini, kita memerlukan lebih banyak lagi graduan ijazah atau pun lanjutan untuk negara kita terus maju. Dengan adanya ilmu didada, kita yakin berbagai inovasi akan lahir yang boleh membantu diri kita di masa-masa hadapan. Inysallah...