Dua buah cerita yang telah dimuatkan di dalam suratkhabar Brunei Times hari ini telah membuat saya menulis coretan untuk kali ini dengan tajuk di atas. Cerita pertama mengenai usaha mengutip derma bagi Dana Belia Brunei Pirhatin yang dianjurkan baru-baru ini. Kita boleh baca sepenuhnya di sini. Dan satu cerita lagi mengenai usaha Majlis Kebajikan dan Sosial Brunei dalam membantu seorang warga tua untuk mendiami sebuah rumah yang lebih selesa lagi. Kita boleh baca mengenainya di sini.
Membaca cerita-cerita tersebut membuatkan diri bertanya, apakah kita sudah kehabisan wang Brunei? Setahu saya sejak Kerajaan di dalam dunia ini termasuk negara kita meninggalkan sistem emas pada 15 Ogos 1971 dan mengamalkan sistem kewangan fiat, kita tidak akan pandai kehabisan wang lagi. Dan pada zaman yang serba canggih dan modern ini, kita hanya perlu menekan beberapa butang di atas papan kekunci komputer, wang sudah boleh kita kreditkan ke dalam akuan sesiapa sahaja. Dengan kebolehan tersebut, negara kita boleh sahaja menyediakan dana sebanyak mana pun yang diperlukan bagi membantu belia-belia kita untuk berniaga ataupun membuatkan rumah kepada mereka-mereka yang memerlukan tanpa perlu meminta pembayaran balik.
Apa-apa pun jua, saya tidak menafikan yang negara kita memang ada menghulurkan bantuan kepada mereka-mereka yang memerlukan seperti pencen tua, elaun OKU dan sebagainya. Cuma apa yang ingin saya bangkitkan di sini adalah mengenai kefahaman sebilangan daripada kita mengenai aspek kewangan negara. Kita seolah-olah terikat dengan paradigma bahawa kewangan negara sama dengan kewangan isi rumah meskipun kedua-duanya amat jauh berbeza.
Jestru itu, saya berasa sedih apabila mengenangkan sebuah negara yang mempunyai kuasa untuk membuat wangnya sendiri dan sebanyak mana yang diperlukan masih sahaja meminta derma daripada penduduknya. Saya juga berasa sedih apabila mengenangkan sebuah negara yang tidak terikat dengan mana-mana perjanjian monitari, mengikat dirinya sendiri dengan sekatan monitari (self imposed monetary restrictions). Dan saya menjadi lebih sedih lagi apabila mengenangkan sebuah negara yang boleh membuat wangnya secara free mentiadakan kemudahan tersebut dengan meyimpan dan mengunci papan kekunci komputernya di dalam peti besi.
Bak cerita Madu Tiga, "Kau kesian tak, Rafee?"...."Kesiannnn"....."Macam mana dia boleh berlanggar dengan lori?"..."Kesiannnn"....."Lori besar kah lori kecik?"...."Kesiannnn"