Bayangkan jika kita "tercangkul" telaga minyak dibelakang rumah, apakah kita akan terus menjadi kaya raya? Ataupun kejumpahan jongkong emas di tengah jalan, apakah kita akan jadi jutawan? Satu persoalan yang menarik.
Kalau mengikut kefahaman saya, jika kita berjumpa dengan sesuatu benda yang mana kita anggap berharga seperti minyak dan emas, kita belum dapat menjadi kaya secara mendadak. Kenapa? Sebab ianya belum ada harga lagi. Aik! masakan tidak ada harga, keluh kita!
Betul. Ini kerana ianya belum kena beli lagi. Atau kata yang lain, belum ada orang yang mahukannya. Seperti minyak tersebut. Kalau Shell tidak mahu membelinya, apa kita boleh jadi jutawan shiekh? Tidak kan. Kalau dijual arah saya pun saya tidak mahu sebabnya ianya tidak ada gunanya kepada saya. Begitu juga emas. Meskipun bertan-tan emas kita perolehi dan miliki, kalau tidak ada orang yang mahukannya, ianya akan menjadi besi buruk saja.
Perlu kita ketahui bahawa semua benda-benda yang kita anggap berharga adalah disebabkan oleh kita sendiri. Seperti kita membeli baju. Oleh sebab kita mahu pakai baju maka kapas yang digunakan untuk dibuatkan baju tersebut menjadi berharga. Bayangkan jika seluruh manusia di dalam dunia ini telanjang bulat. Agaknya siapakah yang mahu menanam kapas?!
Saya membangkitkan perkara ini sebab saya ada terbaca dalam suratkhabar Brunei Times mengenai sebuah syarikat tempatan yang sedang giat berusaha menjual emas. Menurut tuan punya perniagaan tersebut, Muhammad Hamizan bin Haron, memiliki emas merupakan cara yang terbaik untuk mengekalkan kekayaan kita (stored value). Laporan sepenuhnya boleh kita baca di sini.
Apa yang diterangkan oleh pemilik perusahaan tersebut memang ada lojiknya memandangkan emas telah lama menjadi kegilaan manusia sejak berkurun lamanya. Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini harga emas mempunyai harga yang paling terbaik. Akan tetapi bagi saya itu cuma satu ilusi dan ianya tidak akan kekal selamanya dan akan kembali kepada keadaan asalnya. Kenapa?
Satu perkara yang perlu kita fahami bahawa harga jualan emas dipasaran dunia berindekskan dengan matawang US$. Pada ketika ini, kadar faedah di US berada pada paras hampir sifar dan ini telah membuatkan nilai matawang US$ jatuh. Oleh disebabkan kejatuhan nilai US$, maka para pelabur pun mencari aset yang lain seperti emas untuk "menyimpan" nilai kekayaan mereka. Jestru, harga emas telah pun melonjak naik secara drastiknya. Mengikut keterangan Pengerusi FED, Bernanke, beliau akan terus mengekalkan kadar faedah pada paras rendah sehingga 2014.
Nah! Tuan-tuan dan puan-puan, jika ingin mempunyai gigi emas (menunjukan kekayaan), inilah masanya yang terbaik. Tapi perlu kita ingat apabila kadar faedah US dinaikan dan ianya mengatasi kadar inflasi tahunan US, maka saya percaya harga emas akan jatuh menjunam. Dan ketika itulah kita akan bertanya kepada diri kita sendiri, kenapa kita memakai gigi emas....peace!