Baru-baru ini salah sebuah bank tempatan kita telah memaklumkan kepada media masa bahawa mereka telah mendapat keuntungan sejumlah B$72.6 juta pada akhir tahun 2011. Mengikut kenyataan yang dibuat oleh pihak bank berkenaan, keuntungan itu merupakan peningkatan 31.5 peratus jika dibandingkan dengan keuntungan tahun 2010. Selain daripada itu juga jumlah aset bank juga terus meningkat kepada B$5.7 billion. Satu peningkatan 24.8 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2010. Kita boleh baca sepenuhnya di sini.
Membaca kenyataan yang dibuat itu membuatkan hati saya berdetik - apakah kita masih dapat tidur dengan lena apabila kita mengetahui yang sebilangan daripada masyarakat kita tidak dapat tidur lena kerana mengenangkan hutang mereka kepada kita. Begitu juga halnya, apakah kita dapat ketawa besar apabila mengetahui yang kita pernah menarik balik sebahagian harta kerana mereka gagal untuk membuat bayaran bulanan kepada kita. Selain daripada itu apakah kita boleh senyum lebar melihat sebilangan daripada masyarakat kita diisytiharkan muflis kerana mereka gagal membayar hutang. Dan yang paling sedih, apakah kita tidak merasa berdosa bahawa wang pinjaman yang kita berikan itu bukan wang kita tapi wang yang kita sendiri cipta!
Bukan tujuan kita untuk mengeritik keuntungan pihak bank dan tatacara mereka mendapatkan keuntungan tersebut kerana itu memang corak perniagaan mereka. Namun begitu keuntungan yang perolehi itu bagi pandangan saya merupakan titik peluh dan air mata si penghutang. Mereka-mereka yang berhutang terpaksa berkerja keras untuk membayar balik hutang mereka. Tapi pihak bank pula memberi hutang tanpa perlu berkerja keras mahupun menjual sesuatu benda. Pihak bank hanya perlu menekan beberapa kekunci pada papan komputer dan mengkreditkan akuan. Itu saja dan perkara ini pernah saya sentuh di sini.
Jika para pembaca sangsi dengan coretan ini, tanyakan kepada diri kita sendiri dengan fakta berikut. Mempunyai aset berjumlah B$5.7 billion tapi mempunyai kapital berjumlah B$889.7 juta. Untuk makluman aset merupakan harta bagi pihak bank dan kebiasaannya terdiri daripada hutang-hutang pelanggannya. Manakala kapital merupakan "modal" pihak bank. Jadinya di mana pihak bank mempunyai wang yang banyak sedemikian dengan hanya mempunyai modal sedemikian?
Yipeee...kita untung......