Rabu, 28 Mac 2012

Subsidi Kerajaan

Hari ini saya ada terbaca dalam suratkhabar Brunei Times di mana pihak Kerajaan Republik Indonesia bercadang untuk mengurangkan pemberian subsidi kepada minyak dengan menaikan harga minyak domestik. Cadangan tersebut mendapat sambutan kemarahan daripada rakyat dan penduduk negara tersebut. Berita sepenuhnya boleh kita baca di sini.

Negara Indonesia adalah sebuah negara monitari berdaulat dan ia mempunyai kuasa mutlak untuk membuat sebanyak mana wang Rupiah yang ia mahu. Sama seperti negara kita, Brunei Darussalam. Namun kerana kegagalan Kerajaan mereka untuk memahami hakikat tersebut telah menjerumuskan rakyat mereka ke dalam kesusahan.

Seperti yang dilaporkan dalam suratkhabar Brunei Times, pada tahun 2011, Kerajaan Indonesia telah memperbelanjakan sejumlah Rp 165 trillion dalam pemberian subsidi minyak kepada rakyat dan penduduk mereka. Harga minyak domestik Indonesia ialah Rp 4,500 seliter bagi minyak jenis premium. Nota: Rp = Rupiah.

Perhatikan perkataan Rp dalam tulisan saya. Kerajaan Indonesia berbelanja dengan menggunakan wang Rupiah. Bukan peso, ringgit, dollar, yen, won atau sebagainya. Dan siapa punya Rupiah? Bukankah Rupiah itu adalah hak milik Negara Republik Indonesia. Hanya Kerajaan Indonesia sahaja yang mempunyai kuasa untuk membuat wang Rupiah. Jadinya apa masalahnya Kerajaan Indonesia dalam memberi subsidi minyak kepada rakyat dan penduduk negaranya? Lucukan?!

Menurut laporan yang saya baca, kenaikan harga minyak akan menaikan kadar inflasi negara tersebut dan boleh sahaja melemahkan permintaan dalaman negara tersebut. Setentunya perkara ini boleh sahaja menjejaskan KDNK negara tersebut di mana pada tahun 2011, kadar KDNK adalah 6.5 peratus.

Kenapa saya membangkitkan perkara luar dalam blog saya kali ini? Ini disebabkan saya pernah terbaca bahawa Kerajaan kita juga pernah "berfikir" mengenai beban subsidi minyak kepada pihak Kerajaan kita. Kita boleh baca perkara ini di sini, sini, sini, sini, dan banyak lagi. Yang lebih parah lagi apabila sebilangan masyarakat kita berpendapat bahawa pemotongan subsidi boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan dana yang dijimatkan itu dapat digunapakai bagi perkara lain. Kita boleh baca di sini.

Persoalannya kenapa ianya harus menjadi beban kepada Kerajaan kita jika Kerajaan adalah pengeluar utama wang Brunei?! Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, Kerajaan kita tidak perlu menunggu hasil minyak, gas ataupun cukai untuk membuat wang Brunei dan berbelanja. Ini disebabkan pembuatan wang Brunei tidak memerlukan sebarang sokongan apa-apa pun. Tekan saja kekunci papan komputer.

Oleh yang demikian, saya amat berharap jika masyarakat kita dapat berfikir secara rasional apabila mereka mempercakapan mengenai kewangan Kerajaan. Secara jujurnya, meskipun Kerajaan kita kehabisan minyak dan gas untuk dieksport atau segala perlaburan luarnya gagal, ianya tidak akan menghalang Kerajaan kita untuk terus berbelanja walaupun satu sen!

Fikir-fikirlah.....