Dalam suratkhabar Brunei Times, YB Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah berucap dalam sessi penutup Majlis Mesyuarat Negara (MMN) mengenai keperluan kita untuk tidak terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan dalam semua hal. Menurut YB, kita perlu keluar daripada zon selesa kita. Berita sepenuhnya boleh kita baca di sini.
Apa yang diungkapkan oleh YB itu memang benar dan bertepatan jika ianya dilakukan sebelum Ogos 1971. Ini disebabkan sebelum tarikh tersebut, semua kewangan dunia adalah berasaskan standard emas. Iaitu, kita perlu mendapatkan emas sebelum kita dapat membuat wang. Dalam konteks negara kita, minyak dan gas terpaksa digali dan eksport bagi mendapatkan wang US sebelum wang Brunei dapat kita buat.
Akan tetapi dunia sudah pun berubah sejak Ogos 1971, di mana rata-rata dalam dunia ini, wang boleh dibuat sesuka hati tanpa sebarang dokongan kepada emas. Begitu juga dengan negara kita, di mana wang Brunei tidak lagi memerlukan hasil minyak atau gas untuk dicipta, dibuat dan diedarkan.
Perkara yang ingin saya bentangkan di sini adalah kita sebagai pengguna wang Brunei, kita masih memerlukan Kerajaan kita untuk berbelanja. Dengan cara demikian baru kita akan dapat menggumpul atau meyimpan wang Brunei bagi kegunaan kita untuk membeli segala barangan atau perkhidmatan di dalam negara kita ataupun untuk menjadi kaya raya. Kalau tidak percaya, cuba kita bayar cukai jalan dengan Rupiah atau RM, apakah pihak JPD akan menerimanya? Ataupun cuba bayar nasi katok yang kita beli dengan YEN, WON atau sebagainya? Apakah sipenjual nasi katok akan menerimanya?
Pokoknya kita memerlukan Kerajaan kita dalam serba serbi kehidupan kita kerana kita masih memerlukan wang Brunei untuk berbelanja dan hidup dalam negara kita. Dan hanya kerajaan kita sahajalah yang menjadi pengeluar utama wang Brunei. Bukannya Kerajaan Singapura, Malaysia, US, UK dan lain-lain yang mengeluarkan wang Brunei.
Bagi pandangan saya, Kerajaan kita perlu terus berbelanja dan melabur dalam negara agar segala perbelanjaan dan pelaburan yang dibuat itu akan dapat kita manafaatkannya oleh kita sendiri, anak-anak dan cucu-cicit kita dikemudian hari kelak. Sebagai contoh sahaja, jika pihak Kerajaan membina jambatan dari Bangar hingga ke Muara, sudah tentu penduduk daerah Temburong dapat merasakan kemanisan pembangunan negara. Perhubungan akan lebih mudah dan cepat. Perkerjaan boleh di perolehi dengan lebih mudah seperti melalui pelancongan, pembuatan, pertanian dan sebagainya.
Jestru itu amatlah sukar dari sudut pandangan saya jika kita tidak bergantung kepada Kerajaan kita seperti yang dianjurkan oleh YB Menteri KBS. Lainlah halnya jika kita hidup dalam tengah-tengah hutan atau dalam gua ataupun kita boleh membuat wang sendiri. Maka dalam hal sedemikian kata-kata YB Menteri KBS adalah tepat sekali.