Jumaat, 15 Jun 2012

Periuk Orang...Belangga Kita

Hari ini satu laporan yang agak menarik telah dibuat di dalam suratkhabar Brunei Times mengenai negara Korea Selatan. Cuba kita baca laporan tersebut di sini.

Korea Selatan telah memperuntukan sejumlah 280 billion Won dalam usaha mereka membina pelabuhan baru - satu projek yang bersekala besar. Mengikut jangkaan mereka, hasil daripada perlaburan tersebut, Korea Selatan akan meraih sejumlah 3.07 trillion Won. Sebelum ini, Korea Selatan telah pun memperbelanjakan sejumlah 2.9 trillion Won untuk membina dinding laut yang terpanjang di dalam dunia. Adalah dijangkakan Korea Selatan akan membina bandaraya baru di atas tapak berkenaan dengan tumpuan diberikan kepada lojistik, industri, pelancongan dan hiburan menjelang 2020.

Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah mengenai jumlah perbelanjaan yang diperuntukan dan juga matawang yang digunakan dalam pembangunan tersebut. Ternyata kepada kita bahawa sebagai sebuah negara yang mempunyai kuasa mutlak ke atas matawangnya, Korea Selatan mempunyai kemampuan untuk berbelanja besar. Lebih hebatnya lagi ianya dibiayai sepenuhnya dengan menggunakan matawang mereka sendiri iaitu Won.

Selain daripada itu rencana yang pernah ditulis di dalam majalah TIME mengenai Korea Selatan, kita dapat mentafsirkan bahawa negara berkenaan telah mengambil masa selama 15 tahun untuk bangkit semula setelah menghadapi krisis kewangan Asia 1997/8. Menurut rencana itu lagi, diantara punca kenapa Korea Selatan begitu pesat membangun dan maju adalah kerana negara berkenaan berbelanja 3.5 peratus daripada KDNK mereka ke dalam sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Kalau dibandingkan dengan negara kita, peruntukan bagi sektor penyelidikan dan pembanguan adalah kurang daripada 1 peratus dari KDNK negara. Menurut kenyataan pengerusi BEDB pula, Kerajaan mensasarkan untuk menjadikan peruntukan bagi sektor penyelidikan dan pembangunan kepada 1 peratus dalam TEMPOH lima tahun akan datang. Satu peratus beb!...Kita boleh baca mengenainya di sini. Patutlah kenapa negara kita perlu "meranggak" ke tahun 2035 untuk menjadi diantara 10 negara teratas di dalam dunia. Bayangkan jika kita peruntukan 5~6 peratus KDNK negara kepada R&D, apa kita boleh menjadi singa Asia sebelum 2035?

Maka dalam hal ini, saya merasakan yang peribahasa kita - Kalau tidak pecahkan ruyungnya, manakan dapat sagunya dan Kalau hendak seribu daya tak hendak seribu dalih ada kebenarannya....

Fikir-fikirlah...........