Kelmarin negara kita telah melancarkan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 10 yang bermula dari 2012 hingga 2017. Dalam RKN 10 sebanyak B$6.5 billion telah diperuntukan untuk membiayai sejumlah 682 projek yang telah dikenalpasti. Menurut laporan yang dibuat dengan adanya peruntukan sedemikian dan projek-projek yang telah dikenalpasti, negara berharap KDNK 6 peratus setiap tahun akan dapat dicapai. Kita boleh baca laporan sepenuhnya di sini, sini, sini dan sini.
Saya tidak akan mempertikaikan usaha yang dibuat oleh Kerajaan kita dalam usahanya mencapai hasrat yang terkandung dalam wawasan 2035. Malahan saya bersyukur yang Kerajaan kita masih berusaha untuk membangun negara kita. Cuma apa yang ingin saya bangkitkan ialah hasrat negara kita untuk mencapai KDNK 6 peratus setiap tahun.
Dalam nukilan saya yang lepas dan kita boleh baca di sini, RKN 9 (2007/2012) dengan peruntukan B$9.5 billion untuk membiayai 826 projek, negara kita telah meleset untuk mencapai pertumbuhan KDNK 6 peratus setiap tahun. Pada pandangan saya, ketidak keupayaan negara untuk mencapai KDNK 6 peratus setiap tahun adalah disebabkan peruntukan yang dibuat tidak sampai kepada tangan kebanyakan rakyat dan penduduk kita. Hanya sebilangan kecil sahaja yang menerima habuan tersebut.
Kegagalan peruntukan yang dibuat dalam RKN 9 untuk sampai ke tangan rakyat dan penduduk adalah kerana jumlah perkerjaan yang terbit adalah tidak begitu memberangsangkan. Ya, memang banyak projek telah diungkayahkan dan setentunya peluang perkerjaan banyak terbuka. Akan tetapi peluang perkerjaan tersebut tidak banyak memberikan pendapatan yang bermakna (meaningful income) kepada rakyat dan penduduk dan ini telah mengakibatkan wang yang dibelanjakan tidak mengalir ke dalam ekonomi negara. Inilah meyebabkan KDNK negara tidak naik seperti yang diharapkan. Perkara ini dapat kita saksikan dengan jumlah pengangguran di dalam negara yang masih berada pada tahap 3.7 peratus (official estimate). Begitu juga dengan jumlah mereka-mereka yang daif dan mereka-mereka yang meminta bantuan.
Bagi saya meskipun kebanyakan projek-projek yang diungkayahkan bertujuan untuk meningkatkan taraf kualiti kehidupan rakyat dan penduduk seperti perumahan, kesihatan, pendidikan, perhubungan dan sebagainya, akan tetapi ianya tidak meningkatkan pendapatan rakyat dan penduduk negara kita. Dalam RKN 10 ini pun, kita tidak mendengar atau membaca usaha untuk meningkatkan pendapataan rakyat dan penduduk negara. Dan saya berpendapat jika kita tidak memgambil perhatian serius terhadap isu pendapatan rakyat dan penduduk, besar kemungkinan hasrat negara untuk mencapai KDNK 6 peratus setiap tahun akan meleset lagi dalam RKN 10.