Baru-baru ini pihak JPKE telah pun mengeluarkan laporan terbaharu mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Februari 2012. Laporannya boleh kita baca di sini. Menurut laporan tersebut IHP dalam bulan Februari telah naik 0.1 peratus dibandingkan dengan bulan Januari 2012 dan naik 0.6 peratus dibandingkan dengan bulan Februari 2011.
Tapi apa yang lebih menarik perhatian saya adalah indeks Makanan dan Minuman Ringan, di mana ianya telah naik sebanyak 0.2 peratus dibandingkan dengan bulan Januari 2012 dan naik 1.1 peratus dibandingkan dengan bulan Februari 2011. Pada keseluruhannya IHP bagi Makanan dan Minuman Ringan telah naik sebanyak 15.1 peratus sejak tahun 2005.
Saya rasa kebanyakan kita telah merasa bahangnya akan kenaikan harga barang makanan di dalam negara kita. Saya rasa perkara ini akan terus berlarutan di masa-masa mendatang dan terutama sekali dengan adanya kenaikan harga minyak dunia yang berterusan. Namun begitu apakah kita harus pasrah dengan keadaan sedemikian? Apakah tidak ada langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi perkara ini?
Saya berpendapat kita boleh mengatasi perkara ini jika kita mengambil langkah-langkah tertentu terutama sekali dalam mengurangkan beban rakyat dan penduduk dalam perbelanjaan harian atau bulanan mereka dalam hal makanan dan minuman. Diantara perkara yang boleh kita ambil:
- Mengurangkan atau mentiadakan cukai makanan.
- Mengantungkan TAP dan SCP sementara waktu.
- Melaratkan subsidi Kerajaan.
- Membuat kawalan harga (price control).
- Meningkatkan dan memberi kepada semua rakyat dan penduduk Elaun Sara Hidup.
- Mempertingkatkan hasil keluaran dalam negeri melalui pemberian grant, baja, racun perosak, latihan dan sebagainya.
- Memperkukuhkan nilai matawang Brunei melalui kaedah kawalan faedah (interes rate) atau menjual hasil negara (eksport) dalam matawang Brunei.
Apa yang dicadangkan merupakan langkah-langkah pendek membawa kepada langkah-langkah masa hadapan (panjang). Semua langkah-langkah tersebut boleh sahaja dilakukan oleh Kerajaan kita tanpa sebarang masalah ataupun mengugat kedudukan kewangan negara. Insyallah berkat usaha yang kita ambil serta bertawakal kepada illahi, perkara yang dibangkitkan dapat kita atasi dengan baiknya.