Khamis, 23 Februari 2012

Wawasan 2035

Tahun ini merupakan tahun terakhir Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007 - 2012. Menurut buku Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam yang diterbitkan, negara kita telah memperuntukan sebanyak B$9.5 bilion bagi membiayai perlaksanaan 826 projek yang terkandung dalam 257 program bagi RKN 2007 - 2012. Peruntukan ini merupakan pertambahan sebanyak 30 peratus dari peruntukan RKN8.

Dengan peruntukan tersebut dan projek-projek yang telah dikenalpasti, negara kita telah mensasarkan pertumbuhan 6 peratus setiap tahun pada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Namun begitu menurut laporan JPKE, pada tahun 2007, KDNK negara ialah 0.2 peratus. Pada 2008, KDNK negara ialah -1.9 peratus. 2009 KDNK negara ialah -1.8 peratus dan 2010 KDNK ialah 2.6 peratus. Berpandukan kepada laporan JPKE ini, saya rasa negara kita telah gagal untuk mencapai sasaran 6 peratus setiap tahun.

Jadinya dimanakah silapnya perkara ini? 

Saya rasa kegagalan negara kita untuk mencapai pertumbuhan ekonomi 6 peratus setiap tahun adalah kerana wang B$9.5 bilion tersebut tidak sampai ke tangan rakyat dan penduduk negara ini. Sesi jual beli dalam negara tidaklah begitu memberangsangkan kerana kurang penyertaan rakyat dan penduduk dalam perbelanjaan yang telah diperuntukan. Disamping itu juga dasar negara kita yang mengamalkan bajet lebihan (budget surplus - sila baca pandangan saya mengenai perkara ini di sini dan sini) juga melemahkan agrigate permintaan dalaman.

Saya percaya jika wang tersebut sampai ke tangan rakyat dan penduduk negara ini, pertubuhan ekonomi negara bukan setakat 6 peratus malahan lebih tinggi daripada itu boleh kita capai. Untuk itu, saya mencadangkan agar perbelanjaan negara lebih menumpukan kepada peningkatkan pendapatan rakyat dan penduduk negara ini.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah dengan pemberian elaun anak-anak sekolah (bermula dari peringkat pra), melaratkan elaun sara hidup dan kurnia khas dan lain-lain elaun yang diterima ketika ini oleh para perkerja setor awam kepada para perkerja sektor swasta. Selain daripada itu, penumpuan khusus juga perlu diberikan kepada sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti permakanan, sains, bioteknologi, perubatan dan tenaga alternatif. Peruntukan 0.5 peratus dari KDNK negara ketika ini adalah kecil jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia ini. Untuk itu saya mencadangkan agar peruntuk 5~10 peratus untuk R&D.

Kesimpulanya sasaran 6 peratus pertumbuhan ekonomi negara bukanlah satu yang mustahil. Apa yang perlu kita buat ialah menilai semula peruntukan yang ada dan memastikan segala projek pembangunan negara perlu mengambil kira akan peningkatan pendapatan rakyat dan penduduk negara kita. Untuk mengetahui lagi pandangan saya lebih lanjut sila baca di sini.