Selasa, 8 Mei 2012

Bolehkah Kitani Kaya?

Tidak lama dulu saya ada mencoretkan di mana saya telah mengatakan yang kebanyakan daripada kita sebenarnya adalah kapih. Sila baca di sini. Maka untuk hari ini saya ingin mengongsikan kepada semua dengan lebih lanjut lagi mengenai perkara tersebut.

Jika kita melihat daripada sudut makroekonomi dan memahami apa dia kunci kira-kira (balance sheet), kita akan mendapati apa yang kita perakui sebagai aset merupakan liabiliti kepada satu entiti yang lain. Sebagai contoh - Jika kita menyimpan B$10 dalam bank, duit B$10 itu merupakan aset kepada kita dan merupakan liabiliti kepada pihak bank. Begitu juga sebaliknya jika kita meminjam wang B$10 daripada bank, wang B$10 itu merupakan liabiliti kepada kita dan sebaliknya merupakan aset kepada bank.

Dalam konteks negara pula kita mempunyai kunci kira-kira yang khusus di mana ianya terdiri daripada kunci kira-kira kerajaan (belanjawan dan cukai), kunci kira-kira asing (eksport dan import) dan kunci kira-kira domestik - seperti contoh yang saya berikan di atas.

Menurut ilmu makroekonomi, semua kunci kira-kira yang saya sebutkan di atas adalah sectoral balance dan ianya di tulis seperti berikut:

Sektor Domestik + Sektor Kerajaan + Sektor Asing = 0

Berasaskan kepada formula di atas, mari kita lihat jika rakyat dan penduduk negara kita boleh menjadi kaya. Seperti yang kita semua maklum, negara kita sedang mengamalkan paradigma di mana lebihan dagangan asing dan belanjawan (surplus) adalah satu kemestian. Kita berpendapat bahawa apabila kita mengamalkan perkara tersebut, negara akan menjadi lebih makmur dan sejahtera. Malahan kita berpendapat jika negara kita mempunyai hutang ataupun tunggakan ianya akan membawa keburukan.

Akan tetapi jika kita melihat formula di atas, kita mendapati apabila pihak Kerajaan dan sektor asing mempunyai lebihan, kita sebagai sektor domestik akan menerima bebannya. Sebagai contoh, jika Kerajaan kita mempunyai lebihan belanjawan B$1 billion dan sektor asing mempunyai lebihan dagangan B$2 billion, kita sebagai sektor domestik akan mempunyai hutang (deficit) sebanyak B$3 billion.

- B$3 billion + B$1 billion + B$2 billion = 0

Itulah sebabnya saya sentiasa mengatakan yang pihak Kerajaan kita perlu berbelanja lebih jika kita mahu kaya. Itu sebabnya saya selalu mengatakan lebihan dagangan asing bukan semestinya satu kebaikan kepada kita. Itu sebabnya kenapa orang kita sering dihimpit dengan masaalah kewangan. Semua ini disebabkan kita mempunyai paradigma yang salah mengenai kewangan negara di mana kita sering menyamakan bahawa kewangan negara sama seperti kewangan isi rumah.

Oleh yang demikian, ingin sekali lagi saya bertanya, bolehkah kitani kaya?....fikir-fikirlah

P/s - Untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai apa yang dicoretkan sila rujuk di sini.