Membaca laporan hari ini di dalam suratkhabar Brunei Times mengenai tiada lagi tajaan ataupun pembiayaan pihak swasta dalam sambutan Hari Keputeraan KDYMM, membuatkan saya sedikit "terkidum". Menurut laporan yang dibuat, pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengambil keputusan untuk tidak akan menerima lagi sebarang pembiayaan dari pihak swasta dalam kempen promosi yang membawa ucap selamat. Perkara ini telah dijelaskan dan disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Menteri KHEDN. Laporan selanjutnya boleh kita baca di sini.
Membuatkan saya terkidum membaca laporan ini adalah kerana kepercayaan sebilangan daripada kita yang Kerajaan tidak mempunyai bajet yang mencukupi untuk menyambut Hari Keputeraan Raja kita. Saya percaya, pada suatu ketika dulu, ada sebilangan ahli dalam majlis tertinggi sambutan Hari Keputeraan KDYMM telah membuat cadangan untuk mengambil tajaan dari pihak swasta sebagai langkah untuk menjimatkan perbelanjaan Kerajaan. Dan saya juga percaya kebanyakan ahli, pada waktu itu, bersetuju dengan cadangan tersebut dan menanggapnya sebagai satu inisiatif yang bijak.
Mungkin pada saat itu, kebanyakan kita belum mengetahui sepenuhnya akan kemampuan Kerajaan kita untuk berbelanja maka sebab itulah kita beranggapan dengan adanya tajaan dari pihak swasta, duit Kerajaan tidak akan habis begitu sahaja. Tetapi anggapan tersebut ternyata meleset daripada realiti. Kerajaan kita tidak mempunyai masalah dalam menampong segala perbelanjaan sambutan Hari Keputeraan KDYMM. Nak belanja B$1 atau 10 juta - no problem. Malahan perbelanjaan pihak Kerajaan kita sendiri di dalam sambutan tersebut merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kita.
Bayangkan sahaja setiap kali pihak Kerajaan kita berbelanja maka ianya bererti memberikan peluang kepada rakyat dan penduduk negara kita untuk menggumpul wang perbelanjaan Kerajaan kita. Setiap kali Kerajaan berbelanja seperti membuat kain rentang, bererti si penguasa yang membuat kain rentang akan menerima imbalan (wang/duit) ke dalam akuan banknya. Begitu juga jika pihak Kerajaan berbelanja dengan menyediakan gerai-gerai perayaan, sebilangan pengusaha kita akan mendapat untungnya - dari penyewa kem hingga kepada si penjaja.
Jadinya meskipun cadangan untuk menggunakan pihak swasta dalam membiayai sebahagian acara sambutan perayaan nampak sebagai satu insiatif yang bagus, namun hakikatnya ianya adalah tidak perlu sama sekali. Sepatutnya Kerajaan kita yang mengeluarkan perbelanjaan agar ianya dapat memberi peluang kepada rakyat dan penduduk negara kita untuk terus mengumpul Ringgit Brunei. Perlu juga kita ingat bahawa "pembiayaan" ini bukan hanya terhad kepada majlis sambutan perayaan malahan inisiatif yang dipanggil "Public-Private Financing" jika kita fikir lebih mendalam lagi juga tidak perlu sama sekali.
Pada asasnya Kerajaan kita TIDAK akan pandai kehabisan wang Ringgit Brunei akibat berbelanja. Kerajaan kita TIDAK akan muflis dalam matawangnya sendiri akibat berbelanja. Kerajaan kita TIDAK akan pandai kapih akibat berbelanja. Malahan semua rakyat dan penduduk negara kita amat berharap benar untuk Kerajaan kita untuk terus-menerus berbelanja agar kita semua dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa di atas bumi bertuah ini.
Fikir-fikirlah.....