Menurut laporan yang dibuat di dalam suratkhabar Brunei Times, nampaknya negara kita sedang mencari model yang sesuai dalam hal pembiayaan mikro. Pembiayaan mikro ini dianggap sebagai salah satu alat untuk mengeluarkan sebilangan masyarakat keluar dari kancah kemiskinan dan membantu dalam memulakan perniagaan tanpa sebarang cagaran.
Dalam konteks negara kita, menurut laporan akhbar tersebut, negara mempunyai beberapa jenis pembiayaan mikro seperti skim pinjaman MIPR (EFS dan MFS), JAPEM, Yayasan dan Ar' Rahnu BIBD. Pada peringkat permulaannya sebilangan pembiayaan tersebut tidak memerlukan sebarang cagaran mahupun penjamin. Akan tetapi oleh sebab sebahagian masyarakat kita menyeleweng skim tersebut maka sebilangan skim tersebut kini memerlukan cagaran ataupun penjamin. Kita boleh baca selanjutnya di sini.
Saya amat menghargai akan usaha Kerajaan kita dalam memberikan peluang kepada sebilangan masyarakat kita untuk keluar daripada kancah kemiskinan melalui usaha seperti perniagaan. Namun begitu kita perlu akur bahawa tidak semua orang boleh berjaya dalam perniagaan. Sebagai contoh sahaja usaha Yayasan dalam menyediakan 4 buah perahu tambang kini hanya seorang sahaja yang mampu meneruskannya. Dan perambahan statistik ada menyatakan, dari 10 perniagaan yang dimulai, 9 akan gagal.
Jadinya, adakah cara yang lain yang boleh mengeluarkan masyarakat kita dari kancah kemisikinan?
Jawapanya ada! Dan jika kita mahu melakukannya masalah kemisikinan dapat kita atasi dalam tempoh kurang 1 tahun. Bagi saya cara yang termudah dan berkesan adalah seperti berikut:
a. Kerajaan kita menjamin perkerjaan awam seperti buruh, penyelamat pantai, polis, bomba, ranger hutan, dan macam-macam lagi kepada setiap masyarakat yang berkemampuan untuk berkerja dan sanggup menerima gaji minima. ATAU
b. Kerajaan melaratkan segala kemudahan yang diterima oleh pihak awam pada ketika ini seperti ESH, EKK, tambang 4 tahun, pinjaman kerita, rumah, elaun anak sekolah dan macam-macam lagi kepada setiap perkerja swasta. DAN
c. Memberi elaun atau gaji kepada setiap anak-anak sekolah kita bermula dari peringkat pra sebagai insentif untuk belajar.
Sebagai negara yang mempunyai wang sendiri dan mempunyai kuasa mutlak ke atasnya, kesemua perkara yang saya bentangkan di atas TIDAK akan membawa sebarang beban kepada negara. Kerajaan kita tidak akan pandai kehabisan wang Brunei untuk menyediakan perbelanjaan bagi menampong perkara yang saya cadangkan. Negara kita tidak akan menjadi muflis dalam matawangnya sendiri meskipun sampai ke hari khiamat.
Dengan adanya perkara yang saya cadangkan di atas, ianya sudah setentunya akan meningkatkan pendapatan masyarakat kita dan juga meningkatkan agrigate permintaan dalaman. Dengan adanya pertumbuhan permintaan saya percaya pihak swasta ataupun persendirian akan menyaingi permintaan tersebut dengan meningkatkan pengeluaran. Sebagai contoh sahaja apabila permintaan nasi katok ada dan konsisten, kita dapati sekarang berbagai jenama nasi katok telah timbul dan dijual di dalam negara kita. Kita boleh lihat di sana-sini orang berjual nasi katok. Begitu juga halnya apabila permintaan meningkat setentunya berbagai usaha atau perniagaan akan timbul bagi melayan permintaan yang ada.
Jelaslah kepada kita, keperluan pembiayaan mikro tidaklah begitu mendadak dan bukan jalan yang terbaik dalam mengeluarkan sebilangan masyarakat kita dari kancah kemiskinan. Apa yang perlu adalah untuk Kerajaan kita untuk berbelanja lebih. Itu saja!
Jelaslah kepada kita, keperluan pembiayaan mikro tidaklah begitu mendadak dan bukan jalan yang terbaik dalam mengeluarkan sebilangan masyarakat kita dari kancah kemiskinan. Apa yang perlu adalah untuk Kerajaan kita untuk berbelanja lebih. Itu saja!