Hari ini saya ada membaca di dalam suratkhabar Brunei Times di mana Kerajaan kita telah menandatangani memorandum persefahaman dengan BLNG dan BSP mengenai cadangan pembesaran loji janakuasa Lumut atau lebih dikenali dengan nama COGEN. Menurut laporan yang dibuat pihak Kerajaan kita akan berbelanja sejumlah B$300 juta dan akan meraih penjimatan sebanyak B$118 juta setahun dari kecekapan (efficiency) dan menambah penjanaan kuasa lektrik sebanyak 246 MW, penambahan 66 MW. Kita boleh baca sepenuhnya laporan tersebut di sini.
Berita yang dipaparkan tersebut telah mengingatkan saya kepada satu laporan yang pernah dibuat oleh suratkhabar yang sama pada tahun lepas mengenai penjanaan kuasa lektrik alternatif. Dari laporan tersebut, Pusat Pengajian Stratejik dan Polisi (CSPS) telah mengupah sebuah firma perunding dari Kanada, Powertech Labs Inc untuk membuat kajian mengenai penjanaan kuasa lektrik melalui kuasa angin.
Menurut kajian yang dibuat, pihak perunding, Powertech Labs Inc telah mengenal pasti sejumlah 19 lokasi yang berpotensi di dalam negara kita untuk menjana kuasa lektrik melalui kuasa angin. Kajian tersebut juga mengatakan sejumlah 60 hingga 1,800 MW tenaga lektrik boleh sahaja dihasilkan melalui kuasa angin. Jumlah kuasa lektrik yang diberikan merupakan lebih daripada 100 peratus hasil penjanaan negara kita setiap tahun. Kita boleh baca laporan sepenuhnya di sini.
Persoalannya sekarang kenapa kita tidak mendalami dengan lebih lanjut lagi hasil kajian tersebut? Negara kita telah berbelanja jutaan ringgit untuk khidmat pakar nasihat dalam membuat kajian pada kuasa alternatif tapi masih sahaja kita mengenepikannya. Kenapa? Kalau kita tidak mahu membuatnya, kenapa mengupah perunding? Apa kerana kosnya mahal? Jika itu menjadi kegusaran kita, ertinya kita belum lagi memahami kuasa duit Brunei.
Ketahuilah semuanya, sebanyak mana pun kosnya untuk membuat apa yang dicadangkan oleh Powertech Labs tersebut, ianya tidak akan menjadi beban kepada negara kita untuk melakukannya. Selagi wang kita masih diterima dan digunapakai oleh semua pihak, selagi itu kita tidak perlu takut untuk berbelanja. Kita tidak perlu menunggu wang dari hasil minyak dan gas kita untuk negara kita berbelanja. Tekan saja kekunci papan komputer itu dan insyallah kita mampu membuat dan menjana kuasa lektrik alternatif.