Khamis, 24 Mei 2012

Nah..Banar Kan!

Hari ini saya mendapat peluang untuk membaca buku laporan yang dibuat oleh Oxford Business Group (OBG) mengenai negara kita untuk tahun 2011. Sambil saya membaca buku laporan tersebut, saya terbaca temuduga yang dibuat oleh pihak OBG dengan YB Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim. Dalam muka surat 31 dari buku laporan tersebut, yang berhormat Pehin ada menyatakan yang beliau menjangkakan pertumbuhan KDNK negara kita akan berada pada kadar 3.5 ~ 4 peratus pada tahun 2011.

Perkara ini telah mengingatkan saya kepada tulisan yang pernah saya buat pada tahun lepas. Pada awal tahun lepas saya ada menulis kepada suratkhabar Brunei Times mengenai KDNK negara. Dalam tulisan saya itu, saya ada mempersoalkan mengenai peruntukan yang bakal dibuat bagi tahun kewangan 2011/2012, sama ada ianya akan memberikan impak yang besar kepada KDNK negara kita. Kita boleh membaca tulisan saya itu di sini.

Apabila saya membaca temubual YB Pehin tersebut, ianya membuatkan saya berfikir untuk mencari jawapan jika persoalan saya itu menemui kebenaranya. Jestru itu, saya telah melawat halaman sesawang JPKE dan cuba mencari data-data yang diperlukan. Ternyata data-data yang saya perlukan ada sudah dikeluarkan oleh pihak JPKE.

Menurut laporan yang di keluarkan oleh pihak JPKE, pada suku pertama 2011, KDNK negara telah mencatatkan 2.7 peratus. Suku kedua mencatatkan 2.3 peratus. Suku ketiga mencatatkan 2.5 peratus dan suku keempat mencatatkan 1.3 peratus. Kita boleh semak laporan tersebut di sini, sini dan sini. Dari hasil laporan tersebut, saya mendapati secara purata pertumbuhan KDNK negara kita pada 2011 adalah 2.2 peratus!

Kan..kan..kan...apa nyangku! Peruntukan yang kita buat di antara B$4 ~ 6 billion selama ini belum cukup untuk memangkin pertumbuhan KDNK negara kepada 6 peratus setiap tahun seperti yang dianjurkan dalam wawasan 2035. Malahan menurut jangkaan pihak IMF pada bulan Oktober 2011, KDNK negara kita akan berada pada tahap 2.8 peratus turun daripada 3.1 peratus (jangkaan yang asal).

Saya merasakan dengan dasar negara kita yang ada pada ketika ini - berbelanja secara konservatif, penduduk negara dalam proses "deleveraging" hutang, sistem kredit (pinjaman) yang terhad, lebihan dagangan dan belanjawan, usaha kita untuk mencapai pertumbuhan KDNK 6 peratus setiap tahun adalah agak tipis.

Fikirlah-fikirlah....