Hari ini saya merasa agak kecewa dengan perhujahan yang dibuat di dalam MMN terutama sekali dalam hal ehwal kewangan negara. Dari apa yang saya lihat dan dengar, rata-rata YB-YB kita belum mempunyai kefahaman yang betul mengenai wang Brunei.
Sebilangan YB-YB begitu taksub akan konsep "beban kerajaan" dalam menyediakan segala kemudahan dan juga bantuan yang diberikan. Malahan isu-isu "ketunggakan" rakyat dan penduduk negara ini pula menjadi satu isu yang serius.
Bagi saya erti berkerajaan adalah apabila sebilangan atau kelompok manusia bersetuju untuk satu entiti memikul tanggungjawab dalam memberikan kesenangan dan kemudahan kepada mereka. Sebagai contoh seperti pendidikan, pertahanan, kesihatan, kemudahan pasarana dan sebagainya. Mana-mana perkara yang tidak mampu dilakukan oleh seorang individu maka ianya akan dilakukan secara berkelompok demi kebaikan semua. Dan itulah tujuan sebenar sebuah kerajaan ditubuhkan.
Akan tetapi apabila sebilangan kita beranggapan segala kemudahan yang diberikan atau disediakan menjadi beban maka mereka telah lari dari konsep asal sebuah kerajaan. Secara jujur, selagi negara kita sebuah negara monitari berdaulat, beban yang dimaksudkan tidak akan menjadi satu isu kepada kerajaan kita.
Jika kita benar-benar faham apa dia negara monetari berdaulat, kita akan dapati segala kemudahan yang disediakan selama ini tidak menjadi satu isu besar. Malahan kerajaan kita mampu sahaja memperbaiki atau mempertingkatkan lagi segala kemudahan dan bantuan yang telah sedia atau akan diberikan.
Kerajaan mampu untuk melaratkan segala kemudahan yang diterima oleh pihak awam kepada pihak swasta. Kerajaan mampu untuk terus berbelanja tanpa cukai. Kerajaan mampu memberikan pencen kepada setiap perkerja tanpa memerlukan TAP atau SCP. Kerajaan mampu saja membeli segala usaha yang dibuat oleh rakyat atau penduduk negara kita tanpa kehabisan wang Brunei. Kerajaan mampu untuk melabur dalam negara tanpa memerlukan perlaburan terus asing (FDI). Kerajaan mampu menyediakan perkerjaan kepada setiap rakyat dan penduduk negara ini tanpa menunggu dari pihak swasta.
Bermulanya MMN pada tahun ini, harapan saya akan adanya satu perubahan, nampaknya telah meleset. Setiap tahun kita masih sahaja membincangkan perkara yang sama. Belum pernah saya mendengar jika peruntukan yang dibuat mampu:
- Menaikan taraf pendapatan rakyat dan penduduk.
- Menaikan KDNK negara.
- Mengurangkan jurang antara yang miskin dan kaya.
- Mengatasi kemisikinan.
- Mensasarkan pengangguran sifar.
- Mengatasi isu kenaikan harga.
Jestru itu, saya begitu berharap agar YB-YB kita akan lekas-lekas sedar dari kefahaman yang salah mengenai kewangan yang masih membelengu pemikiran mereka. Kerana jika YB-YB kita masih beranggapan bahawa segala kemudahan atau bantuan yang diberikan adalah suatu beban, saya rasa Wawasan 2035 yang kita laung-laungkan selama ini tidak akan menjadi realiti.