Nampaknya Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah pun meluluskan peruntukan sejumlah B$5.2 billion untuk belanjawan negara 2012/2013. Ini adalah B$900 juta kurang dari apa yang telah diusulkan sebelumnya. Berita sepenuhnya boleh kita baca di sini.
Pada pandangan saya peruntukan sedemikian tidak akan membawa banyak perubahan terutama sekali kepada KDNK negara. Saya dapat rasakan KDNK bagi 2012/2013 akan masih berada di bawah tahap 2.5 peratus. Untuk belanjawan tahun 2012/2013, saya berpendapat KDNK negara akan berada di bawah 2.3 peratus.
Kenapa begitu? Ini disebabkan setiap tahun belanjawan negara sentiasa berada dalam lingkungan B$4~5 billion setahun dan setiap kali itu juga KDNK tidak pernah berganjak lebih dari 2.5 peratus setahun. Kita boleh baca mengenainya melalui laporan JPKE BDKI dan untuk 2011 kita boleh baca di sini.
Jelas kepada kita, apa yang kita tulis dalam buku wawasan 2035 di mana ianya menganjurkan KDNK 6 peratus setiap tahun tidak akan pernah kita capai. Dan kegagalan kita untuk mencapainya sudah tentu akan membawa impak yang besar kepada negara kita.
Perlu kita ketahui bahawa untuk memajukan sesebuah ekonomi ianya memerlukan perkembangan aliran kewangan yang seiring. Maksudnya jika kita mahu KDNK 6 peratus setahun, kita perlu berbelanja lebih dari apa yang biasa kita lakukan. Dan secara rasionalnya peruntukan B$5.2 billion tidak akan mencapai sasaran tersebut.
Selain daripada itu, usaha mengatasi pengangguran, kemiskinan dan kenaikan pendapatan rakyat dan penduduk negara, saya rasa juga akan terbantut. Kenapa? Kerana dalam belanjawan yang dibentangkan dan diluluskan kita tidak mendengar akan langkah-langkah yang bakal diambil untuk mengatasinya melalui belajawan yang diluluskan. Secara jujurnya, dengan peruntukan B$5.2 billion, berapa,
- banyak bakal peluang perkerjaan yang dapat memberi pendapatan bermakna akan timbul untuk rakyat dan penduduk negara?
- banyak bakal orang miskin akan terkeluar dari kancah kemiskinan mereka?
- banyak bakal tambahan pendapatan rakyat dan penduduk negara kita?
- banyak bakal beban hutang yang dapat di atasi oleh rakyat dan penduduk negara kita?
- banyak bakal perkara yang dapat ditingkatkan untuk mencapai wawasan 2035?
Jestru itu, saya agak terkilan dan sedih dengan belanjawan yang telah diluluskan. Nampaknya kita masih belum memahami sepenuhnya akan hakikat sebuah Negara Monitari Berdaulat dan kerana itulah kita begitu konservatif dalam belanjawan kita.