Hari ini saya membaca laporan yang dibuat oleh suratkhabar Brunei Times mengenai perjalanan MMN tahun ini. Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai isi kandungan bagi satu tajuk cerita yang ditulis. Kita boleh baca laporan tersebut di sini.
Di bawah adalah petikan ucapan yang dibuat oleh Menteri Kewangan II, YB Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman mengenai "kemampuan" kerajaan kita untuk menyara pencen.
".....particularly the government's capability to continuously fund it.."
Apabila saya membaca komen sedemikian maka apa yang telah saya coretkan selama ini mengenai kefahaman sebilangan YB-YB dan juga masyarakat kita tentang wang Brunei adalah betul dan tepat sekali. Nampaknya sebilangan besar kita masih lagi mempunyai anggapan bahawa perbelanjaan kerajaan adalah sama seperti dengan perbelanjaan isi rumah, meskipun kedua-duanya adalah amat jauh berbeda. Bak pepatah kita seperti engang dan pipit.
Kenapalah kita terutama sekali di dalam zaman serba canggih ini dan mampu untuk mencari maklumat dihujung jari kita, masih sahaja mempunyai tahap pemikiran sedemikian. Tidakkah kita tahu bahawa sejak Ogos 1971, semua kerajaan di dunia tidak lagi mengamalkan sistem kewangan yang berasaskan emas (gold standard). Kita pada ketika ini sedang mengamalkan sistem kewangan FIAT, satu sistem di mana wang-wang yang dibuat tidak bersandarkan lagi dengan apa-apa jua benda yang berharga. Dengan wang FIAT sebuah kerajaan boleh saja membuat wang sebanyak mahunya tanpa sebarang batasan. Apa kita tidak belajar mengenainya?
Amatlah sukar bagi saya untuk mempercayai yang kita sudah berada di abad 21 ini, masih sahaja kita terperangkap dengan kefahaman yang salah. Naluri saya berkata jika perkara ini akan terus belarutan maka kita boleh ucapkan selamat tinggal kepada Wawasan 2035.