Dua hari lepas ada saya terdengar dalam berita radio mengenai langkah-langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan kita dalam usaha memupuk sikap berjimat dalam penggunaan tenaga lektrik. Kita boleh dengar dengan lebih mengenainya seperti berikut:
Saya amat menyokong benar akan langkah-langkah Kerajaan kita untuk mendidik rakyat dan penduduk negara kita untuk berhemah dalam penggunaan tenaga lektrik. Ini disebabkan penggunaan yang membazir tidak akan mendatangkan sebarang kelebihan lebih-lebih lagi jika penggunaan tersebut menggunakan sumber yang tidak dapat diperbaharui (non-renewable resource).
Cuma apa yang membuat saya terkilan adalah dengan tanggapan yang diberikan oleh setengah pihak. Sebagai contoh saja, dalam laporan di atas, pihak media ada menyebut bahawa dengan tarif baru pihak Kerajaan akan dapat menjimatkan sebanyak B$20 juta dari pemberian subsidi. Dengan penjimatan yang diperolehi itu ianya boleh digunakan kepada perkara yang lain seperti pendidikan dan sebagainya, kata laporan tersebut lagi.
Secara jujur kenyataan tersebut adalah kurang tepat!!!!!
Penjimatan yang disanjung itu akan membuat rakyat dan penduduk miskin B$20 juta. Ya, tuan-tuan dan puan-puan, kita akan kehilangan B$20 juta! Kenapa begitu?
Dalam nukilan saya terdahulu - http://anakbrunei2035.blogspot.com/2012/01/lebihan-belanjawan-budget-surplus.html, saya pernah menyatakan bahawa setiap kali pihak Kerajaan mengurangkan perbelanjaan, maka pihak persendirian (seperti kita semua) terpaksa menampong kekurangan tersebut. Sekarang bayangkan di mana kita nak cari B$20 juta tersebut? Jual seluar dalam?!!!
Sebagai sebuah Negara Monetari Berdaulat, Negara kita mempunyai kemampuan untuk menyediakan perbelanjaan yang mencukupi termasuk dalam hal-hal pemberian subsidi. Kerajaan kita tidak akan pernah kehabisan wang Brunei. Negara kita tidak terikat dengan hasil pendapatan negara untuk berbelanja. Kesimpulannya belanjawan Negara bukan sama seperti belanjawaan isi rumah.
Negara kita mempunyai kuasa mutlak untuk membuat wang Brunei. Kuasa ini kita perolehi sejak dunia meninggalkan standard emas (gold standard) dan beralih kepada sistem FIAT pada 15 Ogos 1971. Kita tidak memerlukan lagi emas, minyak, gas, timah, getah atau apa-apa yang berharga untuk membuat wang Brunei.
Jika pihak Kerajaan berhasrat untuk berbelanja, kita hanya perlu mengkreditkan akuan si pemberi khidmat (vendors) tersebut melalui sistem TAFIS (http://www.mof.gov.bn/English/Treasury/Background/Pages/default.aspx). Tidak perlu berjimat sampai B$20 juta untuk memberikan perkhidmatan yang lain. Tekan saja beberapa nombor yang kita perlu arah papan kekunci komputer, presto Kerajaan boleh bayar berapa saja yang perlu.
Zaman sekarang, wang tidak perlu lagi di "cap" untuk membayar atau membeli. Kini wang adalah merupakan angka digit "1" dan "0" (binary numbers) dalam sistem komputer. Kalau tidak percaya kita boleh rujuk laporan BDKI 2011 (http://www.bedb.com.bn/documents/bdki/bdki.2011.pdf - mukasurat 13) di mana dalam tahun 2010, matawang yang dalam peredaran adalah berjumlah B$1 billion tapi wang yang dibuat adalah B$9.7 billion.
Saya sedih apabila sebilangan kita masih mempunyai tanggapan salah mengenai kewangan negara. Dan kerana kefahaman yang kurang tepat, kita telah kehilangan B$20 juta....Hoore Hoore!! (Lagu Allahyarham Sudirman)