Membaca suratkhabar Brunei Times ini kadang-kandang agak melucukan lebih-lebih lagi jika kisah itu berkisar dengan kewangan atau perbelanjaan Kerajaan. Sebagai contoh sahaja, hari ini Brunei Times melaporkan bahawa Forum Seni Lukis Brunei atau lebih kenali sebagai Brunei Art Forum (BAF) sedang menghadapi kesulitan dalam mendapatkan tempat kekal bagi mempamerkan hasil karya seni anak-anak tempatan kita. Kita boleh baca dengan lebih lanjut lagi di sini.
Kisah yang dipaparkan oleh suratkhabar tersebut mengingatkan saya akan nukilan yang pernah saya buat bulan lepas yang bertajuk "Apabila Kerajaan Berbelanja". Dalam nukilan tersebut saya telah menerangkan yang apabila Kerajaan kita mengeluarkan perbelanjaan banyak orang akan meraih keuntungannya. Dan kisah BAF begitu jelas kepada kita apabila tiada peruntukan yang disediakan atau dibuat dalam mendokong perkembangan seni tanah air kita maka sebahagian karyawan kita akan hilang dan perkembangan seni tempatan juga turut terbantut.
Kisah BAF ini juga memperkuatkan lagi hujah saya mengenai keupayaan membuat wang. BAF bukanlah satu entiti yang boleh membuat matawang mereka sendiri. Mereka tidak mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat demikian meskipun sebilangan ahli-ahli mereka adalah pelukis handalan. Malahan BAF terpaksa mendapatkan kewangan mereka dari luar seperti melalui kutipan hasil jualan karya. Pokoknya BAF bukanlah monitari berdaulat.
Lain pula halnya dengan Kerajaan kita. Negara kita adalah sebuah entiti yang mempunyai kuasa mutlak dalam membuat matawangnya sendiri. Melalui sistem TAFIS sahaja, Kerajaan kita boleh berbelanja dan membeli apa jua keperluannya. Ini adalah disebabkan negara kita adalah sebuah Negara Monitari Berdaulat. Tidak ada sebuah negara atau pertubuhan dalam dunia ini yang boleh menghalang negara kita untuk membuat wang Brunei.
Jestru itu jika negara kita ingin melihat perkembangan yang sihat kepada seni dan juga karyawan tanah air kita, pihak Kerajaan perlu mengeluarkan atau menyediakan peruntukan yang secukupnya. Negara kita boleh sahaja membina sebuah Galeri Seni Kebangsan Negara Brunei bagi mendokong perkembangan kesenian tanah air. Bayangkan saja dengan adanya galeri seni sedemikian ianya boleh menjadi satu destinasi pelancongan dan seterusnya meningkatkan hasil seni negara kita ke peringkat antarabangsa.
Pokoknya jika ada kemahuan di situ ada jalannya dan pada pandangan saya hanya Kerajaan kita sahaja yang boleh membuat jalan tersebut.