Setiap kali JPKE memaklumkan akan lebihan belanjawan kerajaan, hampir semua orang akan memuji mengenainya. Rata-rata orang berkata yang kerajaan pandai dan bijak dalam berbelanja dan menjana pendapatan. Akan tetapi apakah kita tahu bahawa lebihan belanjawan itu bukan apa yang kita sangkakan!
Dari sudut pandangan makroekonomi, lebihan belanjawan kerajaan akan mengakibatkan rakyat dan penduduk tetap dihimpit dengan masalah kewangan besar. Adakah lojik jika sebuah kerajaan mengumpul wangnya sendiri sedangkan wang tersebut dibuat dan dikeluarkan oleh kerajaan itu sendiri? Bayangkan kita mampu membuat wang sendiri dan kemudian bersusah payah pula untuk mengumpulkan wang itu semula! Lainlah halnya jika perkara ini terjadi diperingkat persendirian. Kita terpaksa mengumpul wang terlebih dahulu sebelum kita dapat berbelanja.
Untuk memahami perkara ini dengan lebih lanjut lagi, bayangkan senario ini. Andaikata, sebuah negera didiami dengan dua orang. Seorang menjadi kerajaan dan seorang lagi jadi rakyat.
Jika pihak kerajaan berhajat untuk mempunyai belanjawan terimbang (balanced budget), kerajaan akan berbelanja, contoh B$100 dan mencukai B$100. Pada hakikatnya kita tidak mempunyai simpanan atau dapat mengumpulkan wang.
Jika pihak kerajaan berbelanja deficit (budget deficit) dalam erti kata lain, kerajaan berbelanja B$100 tetapi hanya mencukai B$80, kita sebagai rakyat akan mempunyai simpanan B$20.
Jika kerajaan memburu polisi belanjawan lebihan (budget surplus), kerajaan hanya akan berbelanja B$80 dan mencukai pula B$100, bererti kita sebagai rakyat terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak B$20. Dan jika perkara ini berlarutan (tiap-tiap tahun), kita pula akan menghadapi belanjawan deficit.
Bayangkan di mana lagi kita akan mencari wang sedangkan sumber utama kita untuk mendapatkan wang adalah dari pihak kerajaan itu sendiri!
Berdasarkan kepada perkara inilah saya berpendapat kenapa sebilangan rakyat dan peduduk kita dihimpit dengan masalah kewangan. Ini boleh kita dengar dan lihat sendiri apabila Kementerian Kewangan mengumumkan langkah-langkah pengawalan hutang dikalangan rakyat dan penduduk Brunei.
Oleh yang demikian jika pihak kerajaan berkata yang negara mempunyai lebihan belanjawan (surplus budget) jangan terlalu cepat untuk bertepuk tangan.
Fikir-fikirkan lah...