Saya rasa masih ramai orang yang ragu dengan pandangan saya terhadap konsep "membuat" wang sesuka hati ataupun kebolehan Kerajaan kita untuk berbelanja lebih. Rata-rata kita begitu takut jika hiperinflasi akan melanda negara kita dengan polisi perbelanjaan yang begitu liberal.
Tapi tahukah semua bahawa bagi sesebuah negara untuk mengalami hiperinflasi, ianya memerlukan beberapa perkara terlebih dahulu untuk terjadi. Diantara perkara-perkara yang saya maksudkan ialah:
a. Perperangan
b. Perubahan rejim
c. Kegagalan sistem cukai negara
d. Rasuah yang berleluasa
e. Hutang negara dalam matawang asing
f. Kejatuhan produktiviti negara
g. Kekacauan sistem politik negara
Berpandukan dengan perkara di atas, kita boleh memahami sekarang kenapa beberapa buah negara di dalam dunia ini mengalami hiperinflasi. Perkara-perkara yang saya bentangkan di atas adalah diantara pencetus utama hiperinflasi. Di dalam situasi yang sebutkan tadi pembuatan wang yang berterusan oleh sesebuah negara akan mengakibatkan hiperinflasi.
Jika semua masih lagi sangsi dengan pendapat saya mengenai hiperinflasi, saya sarankan semua untuk mengupas dengan lebih mendalam lagi negara-negara yang pernah mengalami hiperinflasi. Saya percaya kita akan mendapati sebilangan atau kesemua yang saya sebutkan di atas ada pada negara-negara yang terlibat.
Kebiasaan orang apabila sesuatu perkara terjadi, mereka hanya menumpukan perhatian kepada sebab sahaja. Sebagai contoh, apabila seseorang meninggal dunia kerana serangan sakit jantung, kita beranggapan bahawa jantung si mati itu mengalami masalah. Akan tetapi kita tidak mengkaji kenapa jantung si mati itu mengalami masalah. Jika kita selidiki dengan lebih lanjut kita akan mendapati bahawa si mati adalah seorang perokok, mengamalkan makanan yang tidak sihat, kurang latihan jasmani dan sebagainya.
Jadinya sebelum kita beranggapan bahawa hiperinflasi adalah berpunca dari pembuatan wang yang berlebihan, saya sarankan kita selidiki dahulu punca sebenarnya terjadinya hiperinflasi. Jangan kita main hentam keromo sahaja. Jika kita main hentam keromo, besar kemungkinan kita akan membuat atau mengubal dasar monitari atau fiskal yang salah dan ianya boleh membuatkan keadaan lebih keruh lagi.
Fikirkanlah......