Isnin, 13 Februari 2012

Masaalah PIIGS

Saya rasa kebanyakan para pembaca merasa keliru dengan nukilan saya selama ini di mana saya mengatakan sebuah negara yang monetari berdaulat boleh saja berbelanja sesuka hatinya. Malahan negara monetari berdaulat boleh saja membuat wang sebanyak yang ia mahu untuk pembangunan dan memberi segala subsidi yang perlukan oleh rakyat dan penduduk negara yang berkenaan.

Tetapi apa pula halnya dengan negara Portugal, Ireland, Italy, Greece dan Spanyol a.k.a PIIGS? Kenapa negara-negara tersebut menghadapi masalah kewangan (beban hutang) yang kronik? Saya rasa semua berpendapat bahawa PIIGS adalah sebuah negara berdaulat dan setentunya boleh saja membuat wang Euro? Bukankah begitu?

Sebenarnya PIIGS bukan lagi negara monetari bedaulat. Walaupun negara-negara tersebut secara lahirnya sebuah negara berdaulat akan tetapi matawang mereka adalah tidak! Kenapa demikian? Nah! ini adalah kerana pintar-pintar bodoh negara tersebut sendiri. Terlalu membabi buta dan terlalu "iski" untuk menyertai matawang Euro. 

Sebelum ini, PIIGS (dan 12 negara yang lain), mempunyai matawang mereka sendiri. Portugal ada matawang Escudo. Ireland ada Irish Pound. Italy ada Lira. Greece ada Drachma. Dan Spenyal ada Peseta. Dengan matawang tersebut PIIGS merupakan negara monetari berdaulat dan mereka boleh saja membuat wang sesuka hati mereka.

Entah di mana silapnya. Nak dikatakan bodoh tidak jua. Nak dikatakan pintar tidak jua. PIIGS telah membuang matawang mereka dan memakai matawang Euro. Semua ini terjadi apabila negara-negara tersebut ikut serta dalam Perjanjian Maastricht pada 7 February 1992.

Dengan mengikuti matawang Euro, PIIGS secara otomatiknya berubah dari sebuah negara monetari berdaulat kepada bukan negara monetari berdaulat (non-monetarily sovereign nations) di mana PIIGS tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membuat matawang Euro. Hanya European Central Bank (ECB) yang mempunyai kuasa untuk membuat Euro.

Kegagalan PIIGS untuk membuat wang sendiri telah mengakibatkan rakyat dan penduduk negara-negara tersebut menderita. Mereka terpaksa menjalani austertiy, berhutang, pengurangan belanjawan negara, menaikan cukai, menjual aset-aset negara hanya kerana untuk menggumpul matawang Euro.

Untuk mengatasi beban hutang PIIGS, ada beberapa yang boleh dilakukan. Diantaranya:

a. Meninggalkan matawang Euro dan mengambil semula matawang asal atau;
b. ECB memberi Euro kepada PIIGS secara percuma.

Jika perkara di atas tidak dilakukan, saya rasa rakyat PIIGS akan terus menderita dan kehancuran matawang Euro akan menjadi satu realiti. Inilah akibatnya apabila satu-satu aset yang paling berharga bagi sesebuah negara dibuang begitu saja.