Isnin, 27 Ogos 2012

Lebihan Fiskal

Hari ini dilaporkan di dalam suratkhabar tempatan bahawa negara telah mencatatkan lebihan fiskal bagi suku pertama 2012. Menurut kenyataan pihak JPKE, negara telah mendapat hasil pendapatan berjumlah B$1,163.2 juta atau 21.1 peratus daripada KDNK negara. Ini merupakan satu penurunan dalam perolehan negara jika dibandingkan dengan suku keempat 2011 di mana negara telah memperolehi B$1,839.6 juta atau 33.3 peratus daripada KDNK negara. Laporan selanjutnya boleh dirujuk di sini.

Tak tahu apa nak dicakapkan. Jika kewangan negara sama seperti kewangan isi rumah, berita seumpama ini merupakan satu berita yang amat mengembirakan. Akan tetapi masalahnya, kewangan negara tidak sama seperti dengan kewangan isi rumah.

Sebagai pengeluar utama wang negara, sesungguhnya Kerajaan tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk mengumpul semula wang negara. Kerajaan boleh sahaja membuat wang yang diperlukan - sebanyak mana yang diperlukan dan pada bila-bila masa. Adalah tidak ada lojiknya bagi sebuah entiti yang membuat wang pada asalnya (permulaan) setelah itu memutik atau mengambil semula wang yang dibuatnya itu!

Lainlah halnya bagi pengguna utama wang negara seperti rakyat dan penduduk negara. Wang terpaksa dikumpulkan atau disimpan terlebih dahulu sebelum rakyat dan penduduk negara dapat berbelanja di dalam ekonomi negara. Melihat dari sudut lain, seseungguhnya laporan yang dibuat telah menyatakan bahawasanya rakyat dan penduduk negara ini sudah kehilangan B$3,002.8 juta dari ekonomi. Ya, B$3,002.8 juta yang sepatutnya mengalir ataupun singgah ke dalam tangan rakyat dan penduduk negara, sudah tidak ada di dalam ekonomi negara sejak suku keempat 2011 hingga suku pertama 2012.

Memetik dengan lebih lanjut lagi akan laporan yang dibuat, belanjawan negara juga telah mencatatkan penurunan sebanyak 5.3 peratus dari tahun ke setahun setelah berkembang 9.2 peratus pada suku keempat tahun 2011. Sudahlah negara dapat mengumpul B$3,002.8 juta, lepas itu belanjawan negara pula dikurangkan lagi, macam mana ekonomi negara hendak berkembang?

Jika senario ini terus menerus menjadi agenda negara dimasa-masa akan datang, harapan negara untuk menjadi 10 negara teratas di dalam dunia menjelang 2035 tidak akan kesampaian. Yang mengusarkan fikiran adalah impak terhadap rakyat dan penduduk, di mana mereka terpaksa berhutang untuk menampong perbelanjaan yang telah dikurangkan oleh pihak Kerajaan. Maka janganlah hairan jika hasrat KDYMM untuk melihat sifar kemiskinan di dalam negara tidak kesampaian.

Bayangkan sahaja jika wang B$3 billion tersebut tidak dikutip semula dan perbelanjaan negara tidak dikurangkan, sudah tentu berbagai perkara atau benda boleh dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam memajukan dan memakmurkan negara lagi. Dan besar kemungkinan pertumbuhan KDNK negara pada suku pertama 2012 boleh sahaja melebihi 0.7 peratus seperti mana yang dilaporkan baru-baru ini.

Renung-renungkanlah.............