Rabu, 1 Ogos 2012

Membasmi Kemiskinan

Satu berita yang agak menarik telah terpapar di dalam suratkhabar tempatan mengenai hasrat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) untuk membasmi kemiskinan di dalam negara. Perkara ini telah didedahkan semalam dalam siaran media oleh pihak YSHHB. Menurut kenyataan yang dibuat oleh Penolong Pengurus Am YSHHB, Haji Musthapa bin Haji Matahir, pihak YSHHB telah menjalankan satu kajian mengenai kemiskinan di dalam negara. Sejauh ini 17 buah keluarga dari Mukim Pengkalan Batu telah dikenalpasti, menurut beliau lagi. Berita selanjutnya boleh didapati di sini.

Menyentuh mengenai kemiskinan ini, ianya telah membuka berbagai persoalan mengenai kemiskinan. Antara perkara yang dipersoalkan ialah apakah sebenarnya kemiskinan tersebut - Apakah ianya bererti tidak mempunyai wang? Apakah miskin ertinya tidak mempunyai perkerjaan? Atau, adakah miskin itu mempunyai jumlah hutang yang besar? Persoalan sedemikian perlu dihuraikan dengan lebih jelas kerana penyelesaian kemiskinan bergantung sepenuhnya kepada erti sebenar miskin itu sendiri dan juga kemampuan sesebuah organisasi ataupun individu untuk membantu.

Dalam cubaan merungkai permasalahan kemiskinan ini, telah didapati rata-rata ianya mempunyai satu tema yang sama - tidak mempunyai wang yang mencukupi di dalam tangan. Suka ataupun tidak untuk mengakui hakikat tersebut, kenyataannya orang memerlukan wang untuk keluar dari kancah kemiskinan. Perkara ini jelas dilihat apabila pihak YSHHB sendiri memberikan sedekah diantara B$200 ~ B$400 kepada setiap individu yang telah dikenalpasti miskin.

Berasakan kepada fakta ini dan juga berbalik kepada persoalan yang dikemukan sebelum ini, maka jelas kepada semua bahawa untuk menggeluarkan seseorang itu dari lembah kemiskinan adalah mudah sekali - dengan mempunyai wang yang mencukupi. Cukup bagi dirinya dan tanggongannya (jika ada) untuk menikmati kemanisan kehidupan. Mudahkan!

Namun begitu perkara ini adalah mudah bagi sebuah entiti yang bergelar monetari berdaulat seperti sebuah negara dan susah bagi yang bukan monetari berdaulat seperti YSHHB. Perbezaan di antara keduanya ialah keupayan mereka untuk menjana kewangan yang mencukupi. Sebagai sebuah negara monetari berdaulat, negara mempunyai keupayaan untuk membuat wang free pada bila-bila masa dan pada jumlah yang diperlukan. Manakala YSHHB tidak mempunyai keupayaan untuk membuat wang free kerana ketiadaan kuasa untuk berbuat demikian.

Jestru itu, negara boleh sahaja membasmi kemiskinan di dalam negara jika ianya mahu. Kalau keluarga itu tidak mempunyai wang, negara boleh berikan wang saku ataupun memberi gaji kepada semua anak-anak sekolah bermula dari peringkat pra lagi. Kalau ketua keluarga itu tidak mempunyai perkerjaan, negara boleh menjaminkan perkerjaan ataupun laratkan segala kemudahan yang diterima oleh pihak perkerja awam kepada semua perkerja swasta. Jikalau keluarga itu miskin disebabkan hutang, negara boleh melupuskan hutang tersebut sama seperti yang dilakukan dengan wang ESH baru-baru ini.....mudahkan!

Semua itu boleh negara lakukan tanpa perlu risau akan kedudukan kewangannya. Negara tidak akan pandai kehabisan wangnya meskipun sampai hari kiamat. Negara tidak akan pandai jatuh muflis di dalam matawangnya sendiri. Dan tiada siapa yang boleh melarang atau menghalang negara dalam membasmi kemiskinan di dalam negaranya sendiri.

Fikir-fikirlah.........