Selasa, 28 Ogos 2012

Roti Kawin dan Kopi 'O'

Blog ini kebiasaannya mengambil inspirasi dari laporan akhbar tempatan dan kadang kala dari luar negara. Dalam melayari maklumat yang terpapar di dalam suratkhabar tersebut, ianya telah membuatkan terfikir, apakah sebilangan para pembaca suratkhabar memahami dan mengerti serta mengambil pelajaran akan segala yang tertulis.

Kenapa perkara ini dibangkitkan?

Sering didengar dan dipercakapkan bahawa kebanyakan rakyat dan penduduk negara ini suka memilih perkerjaan. Rata-rata pendapat menyatakan bahawa rakyat dan penduduk negara ini lebih gemar berkhidmat di dalam sektor awam dari sektor swasta. Alasan yang diberikan akan presepsi sedemikian adalah kelebihan yang terdapat di dalam sektor awam jika dibandingkan dengan sektor swasta. Sebagai contoh sahaja, baru-baru ini sebahagian besar perkerja awam telah menerima durian runtuh - pengeluaran ESH, manakala para perkerja sektor swasta hanya mampu menelan air liur yang pahit apabila mendengar mengenainya.

Tapi apakah itu patut disalahkan jika seorang insan mahu memilih perkerjaan?

Sekarang mari baca laporan yang dibuat baru-baru ini mengenai industri pakiaan negara. Menurut laporan yang dibuat, industri pakaian negara sedang mengalami saingan hebat dari negara pengeluar pakaian lain. Semua itu gara-gara negara lain telah memberikan gaji minima bagi menyaing negara lain dalam industri pembuatan pakaian. Perkara ini boleh dibaca sepenuhnya di sini.

Persoalannya apakah itu yang sebilangan masyarakat negara ini mahu - memberi gaji minima kepada bangsanya sendiri?

Perkara ini dibangkitkan kerana baru-baru ini juga, suratkhabar tempatan ada melaporkan kisah sedih mengenai sebuah keluarga yang agak daif. Oleh disebabkan mempunyai gaji minima, keluarga ini telah gagal menyambut hari lebaran dengan meriahnya. Disebabkan kurang mampu, keluarga ini terpaksa berpisah (bukan cerai) dan tinggal berasingan. Semua ini adalah disebabkan ketua keluarga ini hanya menerima gaji sebanyak B$420 sebulan. Perkara ini boleh dibaca selanjutnya di sini.

Jadinya apabila sebilangan para pembaca suratkhabar tempatan membaca artikel-artikel yang dibuat, apakah mereka-mereka ini mengambil maklum akan isi kandungan yang ada? Atau sahaja untuk membaca sambil makan roti kawin bercacahkan kopi 'O'?!!!!

Renung-renungkanlah...........