Isnin, 30 Januari 2012

Penjagaan Kesihatan

Saya amat tertarik dengan laporan yang dibuat dalam Brunei Times hari ini mengenai seruan Menteri Kesihatan, YB Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Hj Adanan bagi semua sektor dan NGO untuk berkerjasama dalam membuat suasana persekitaran sihat dan mempromosi kehidupan sihat kepada rakyat dan penduduk negara ini. Laporan penuh boleh kita baca melalui:


Dalam kesempatan ini, ingin juga saya membuat cadangan dalam pembaikan dan peningkatan tahap kesihatan dikalangan rakyat dan penduduk Brunei Darussalam.

Cadangan saya adalah untuk mentiadakan sama sekali perkhidmatan kesihatan percuma. Ya, tuan-tuan dan puan-puan, saya mencadangkan agar semua rakyat dan penduduk negara ini membayar kos rawatan kesihatan mereka! Saya rasa semua akan terkejut dengan cadangan ini dan saya juga percaya semua tidak akan bersetuju dengan cadangan yang saya anjurkan ini. Oleh yang demikian sebelum semua "terkinjat" dengan cadangan ini, biar saya terangkan mengenainya dengan lebih lanjut lagi.

Dalam menggantikan ketiadaan rawatan kesihatan percuma, pihak Kerajaan akan menyediakan "kad kredit kesihatan" kepada setiap rakyat dan penduduk tetap. Kad kredit kesihatan ini akan mempunyai kredit berjumlah B$2500 (atau yang sebanding dengannya) setiap tahun. Kad kredit hanya akan diberikan kepada mereka-mereka yang berumur 18 tahun ke atas sahaja. Setiap kali mereka sakit dan berjumpa doktor dan seterusnya mendapatkan rawatan, kredit yang terdapat dalam kad mereka akan ditolak. Sebarang lebihan kredit yang tidak terpakai dalam tempoh setahun akan dipunyai oleh sipemilik kad tersebut untuk kegunaan peribadinya.

Sekarang bayangkan kebaikan yang akan terbit dari cadangan ini. Antara perkara yang boleh saya fikirkan adalah seperti berikut:

a. Insentif atau ganjaran yang bakal diperolehi melalui lebihan kredit dari kad tersebut akan membuat sipemilik berusaha untuk menjaga taraf kesihatan mereka dengan lebih baik lagi.

b. Rakyat dan penduduk tetap mempunyai pilihan dalam mendapatkan rawatan yang terbaik dengan mengunjungi klinik-klinik kesihatan atau rumah sakit swasta.

c. Taraf penjagaan kesihatan akan meningkat dengan adanya ganjaran yang lumayan kepada mereka-mereka yang memberikan perkhidmatan kesihatan.

d. Kos penjagaan kesihatan kerajaan akan menurun dengan adanya peningkatan kesihatan rakyat dan penduduk negara ini.

Saya percaya dengan adanya insiatif sebegini, isu penjagaan kesihatan dalam negara kita akan dapat dipertingkatkan dan diperbaiki lagi.