Sabtu, 28 Januari 2012

Berbelanja Untuk Kemajuan

Hari ini Brunei Times membuat laporan mengenai "Oil Stabilisation Fund" yang dicadangkan oleh pihak konsultan dari German. Cerita sepenuhnya boleh kita baca di sini:


Membaca dari laporan tersebut membuatkan saya terfikir, kenapa kita tidak mahu berbelanja lebih besar untuk kemajuan dan seterusnya mencapai Wawasan 2035 tanpa terpaksa menunggu tahun 2035?

Dalam nukilan saya dalam blog lama saya - http://brunei2035.blogspot.com/, saya pernah menyuarakan perkara yang sama seperti mana yang dianjurkan oleh pihak konsultan dari negara German itu. Negara perlu melabur dan berbelanja dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran.

Akan tetapi kita masih juga dibelenggu dengan kefahamaan yang kurang tepat. Kita masih saja beranggapan yang kita tidak mempunyai kemampuan untuk berbelanja besar. Kita masih juga beranggapan yang kita perlu menjana pendapatan melalui pengeksportan sebelum berbelanja. Dan kita tetap juga beranggapan yang kita perlu perlaburan langsung asing (foreign direct investment) dalam membangun negara kita.

Walhal semua perkara tersebut adalah tidak perlu kerana negara kita adalah sebuah Negara Monitari Berdaulat (Monetarily Sovereign Nation). Sebagai sebuah negara yang monetari berdaulat, kita mempunyai hak yang sama seperti negara-negara yang monetari berdaulat dalam membuat wangnya sendiri. Kita mempunyai kuasa yang sama dalam membuat sebanyak wang yang kita perlukan dalam membangun negara kita.

Secara jujur saya tidak berhasrat untuk bermegah tetapi perkara ini tidak memerlukan konsultan untuk memikirkannya. Kita boleh lihat dan dengar dengan sendiri dan membuat peniliaian tersendiri. Pada hemah saya, untuk negara kita terus berkembang dan mencapai wawasan 2035, Kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Perbelanjaan Kerajaan yang hanya sekitar B$5~6 billion pada setiap tahun belum lagi memadai. Ini boleh kita buktikan dengan KDNK negara yang sentiasa berada di bawah 3 peratus setahun.

Perlu kita ingat - "Perkembangan Ekonomi Memerlukan Perkembangan Bekalan Kewangan" (A Growing Economy Require A Growing Supply of Money). Dan sebagai Negara Monitari Berdaulat, Kerajaan kita mempunyai kemampuan untuk menyediakan perbelanjaan yang mencukupi bagi kemajuan negara kita.