Dalam blog saya yang lama, saya pernah menyuarakan bagi kerajaan kita untuk memberikan setiap penuntut dengan sebuah iPad. Sila lihat http://brunei2035.blogspot.com/2011/09/ipad-for-all-brunei-students.html
Nampaknya, anjuran saya tersebut mungkin ada bernasnya. Setiap tahun masyarakat Brunei akan menghadapi situasi kekurangan buku-buku teks sekolah. Perkara ini sudah menjadi semacam satu tradisi. Tiada penghujungnya dan tiada penyelesaiannya. Pada hemah saya, walau berbagai alasan pun yang diberikan oleh pihak pembekal, hakikatnya kegagalan tetap kegagalan.
Sehubungan dengan itu sekali lagi saya menganjurkan kepada kerajaan kita untuk memberikan setiap penuntut dengan sebuah iPad. Dengan adanya iPad tersebut masaalah kekurangan buku-buku teks dapat di atasi dengan mudah. Penuntut, ibubapa dan guru akan dapat memuat turun mana-mana matapelajaran yang diperlukan dan segala pembetulan juga dapat dimasukan dengan cepat.
Dengan adanya iPad masalah beban anak-anak sekolah membawa buku-buku yang berat dapat juga dielakan. Selain daripada itu juga masaalah pembaziran dapat dielakan seperti yang dinyatakan oleh pihak pembekal. Dalam masa yang sama, kita dapat meningkatkan kesedaran dikalangan masyarakat mengenai pemuliharaan alam sekitar. Bayangkan berapa banyak pokok yang dapat diselamatkan dengan penggunaan e-buku.
Jika abiskita beranggapan yang pemberian iPad ini agak keterlaluan, mungkin kita boleh menempah komputer tablet keluaran India yang berharga US$35.
Dengan keramaian penuntut sebanyak 111,920 orang (BDKI 2011), jumlah perbelanjaan kerajaan dalam memberikan komputer tablet tersebut akan bernilai US$3.9 juta atau B$4.5 juta.
Apakah kerajaan kita mampu? YA!!! Perbelanjaan kerajaan tidak terikat dengan hasil pendapatan. Kita boleh membuat peruntukan yang secukupnya kerana negara kita adalah sebuah negara berdaulat monitari.