Selasa, 31 Julai 2012

Sudah DiKatakan...

Coretan-coretan yang terdapat di dalam blog ini selalu dan sentiasa mengingatkan para pembaca mengenai hubungkait kewangan dan kehidupan. Blog ini juga sering mengingatkan kepada semua bahawasanya perkembangan kewangan yang mantap dan jitu sudah pasti memangkin pertumbuhan yang sihat dan berterusan.

Maka apabila laporan akhbar hari ini menulis mengenai implikasi Elaun Sara Hidup (ESH) terhadap peniaga, ianya telah memperkukuhkan lagi segala perhujahan di dalam blog selama ini. Dari laporan yang dibuat, kebanyakan pengusaha telah mendapati hasil jualan mereka berlipat-ganda jika dibandingkan dengan hari-hari sebelumnya. Laporan penuh boleh disemak di sini.

Namun begitu, perkara sedemikian tidak terlintas kepada pemikiran segelintir orang. Malahan mereka terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menggurangkan perbelanjaan sama ada Kerajaan atau persendirian. Hairankan?! Walhal, semua orang tahu bahawa wang itu adalah minyak pelincir dalam ekonomi. Kurangnya wang boleh sahaja menjahanamkan jentera ekonomi negara. Perkara ini terbukti di sini.

Jestru itu apabila sebilangan orang bercakap mengenai keperluan negara untuk mempunyai lebihan belanjawan, penggurangan subsidi, penswastaan, penggurangan perkerjaan, dan sebagainya adakah ianya boleh dianggap sebagai satu langkah yang bijak? Bolehkah dasar-dasar sedemikian mempunyai kemampuan untuk menjana pertumbuhan ekonomi, kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat dan penduduknya?!...
 
Seperti yang sering diperkataan sebelum ini, negara perlu memastikan yang setiap rakyat dan penduduknya sentiasa mempunyai wang yang lebih di dalam tangan mereka agar sesi jual beli di dalam negara dapat terjadi dengan meriahnya. Pertumbuhan ekonomi 6 peratus pada setiap tahun merupakan wawasan negara 2035. Namun begitu jika sebilang orang masih beranggapan bahawa kewangan negara itu sama seperti kewangan isi rumah maka janganlah hairan satu hari nanti wawasan 2035 gagal untuk dicapai.

Fikir-fikirlah, wahai anak bangsa Brunei.....

Isnin, 30 Julai 2012

Tapesteri Kehidupan....

Dalam coretan kali ini, marilah bersama-sama merenungkan gambar-gambar yang terpampang. Jauh disudut hati, ingin bertanya bilakah perkara sedemikian rupa dapat di atasi?! Apakah tidak ada kemahuan ataupun kesungguhan daripada masyarakat untuk mengatasi dilema ini.

Suasana semasa ESH dan gaji keluar.
Sebenarnya perkara-perkara yang dipaparkan dapat di atasi seandainya sebilangan daripada penduduk negara memahami erti sebenar sebuah negara monetari berdaulat. Negara boleh sahaja:

- menghapuskan kemiskinan.

- menyediakan perkerjaan.

- mengatasi dilema kumpulan kelas pertengahan (middle class group).

- membina pasarana yang terbaik di dalam dunia.


Warga tempatan dalam aksi perompakan.
Sebagai sebuah negara yang berdaulat dalam kewangannya,

- negara tidak perlu menabong terlebih dahulu untuk berbelanja.

- negara tidak perlu menunggu hasil jualan minyak dan gas untuk terus berbelanja.

- negara tidak memerlukan hasil cukai, royalty dan sebagainya sebagai asas kepada dana sosio-ekonomi negara.

- negara tidak perlu berhutang atau yang seumpamanya untuk menyediakan yang terbaik kepada rakyat dan penduduk.
Satu keluarga di Kampong Serambangunan, Tutong.
Negara mempunyai keupayaan untuk melakukan perkara-perkara yang disebutkan tadi kerana matawang negara,

- tidak memerlukan sokongan emas ataupun barang-barang berharga apabila ianya dibuat.

- sedang mengamalkan sistem kewangan FIAT sejak sekian lamanya. Malahan seluruh matawang dunia mengamalkan sistem matawang fiat.

- boleh dikreditkan bila-bila masa sahaja dan mana-mana akuan yang diperlukan.





Rumah robah di Kampong Saba 'B'
Tapi apakan daya, sebilangan masyarakat dan penduduk mempunyai tanggapan serta pemikiran bahawa,

- duit negara perlu dijimat cermat kerana duit itu bukannya free.

- wang negara adalah sama seperti kewangan isi rumah dan ianya memerlukan pendapatan sebelum berbelanja.

- negara perlu menabong untuk perbelanjaan generasi akan datang.



Renung-renungkanlah..............

Jumaat, 27 Julai 2012

Durian Runtuh - ESH

Besok sebilangan daripada rakyat dan penduduk negara akan menerima durian runtuh - pengeluaran simpanan Elaun Sara Hidup (ESH). Kebanyakan orang pengeluaran ESH ini bersama dividennya sekali adalah saat-saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Penantian bagi kebanykan orang pasti akan berakhir pada hari esok, insyallah.

Apa-apa pun jua, pengeluaran ESH oleh pihak Kerajaan, memperkokohkan lagi segala coretan yang terdapat di dalam blog ini. Antaranya ialah bahawa Kerajaan yang berdaulat dan mempunyai matawangnya sendiri boleh:
  • Membuat wang pada bila-bila masa dan seberapa banyak yang perlu.
  • Membuat wang dengan hanya perlu menekan beberapa kekunci papan komputer - mengkreditkan akuan si penerima ESH.
  • Membuat wang tanpa perlu menunggu hasil cukai ataupun eksport negara.
  • Membayarkan hutang rakyat dan penduduk dengan menekan beberapa kekunci komputer - mendebit akaun si penghutang.
  • Berbelanja besar tanpa mengugat kedudukan kewangan negara.

Selain daripada itu juga pengeluaran ESH ini menunjukan kepada semua bahawa pembuatan wang itu tidak seharusnya memerlukan pencetakan wang kertas seperti mana yang difikiran oleh kebanyakan orang. Begitu juga halnya, pengeluaran ESH ini tidak akan membawa kadar inflasi diluar kawalan negara seperti mana yang selalu diramal oleh kebanyakan orang.

Keluarnya ESH ini, suasana perekonomian domestik sudah pastinya mencatatkan perkembangan yang positif. Dengan adanya wang lebih dalam saku ataupun dompet ianya membolehkan sebilangan rakyat dan penduduk untuk membeli segala hasil pengeluaran dalaman dan luaran negara. Kalau beberapa bulan yang lepas tidak mampu untuk membeli Samsung SIII, maka esok ianya akan bertukar tangan. Pokoknya kebanyakan tauke-tauke kedai mempunyai senyuman yang sangat-sangat manis kerana melihat rakyat dan penduduk berbelanja lebih terutama sekali dengan kehadiran bulan Ramadhan dan Syawal.

Dalam kesempatan ini diucapkan selamat berbelanja kepada mereka-mereka yang menerima ESH dan kepada mereka-mereka yang lain doakan sahaja agar Kerajaan membuka minda mereka mengenai apa ertinya menjadi sebuah negara monetari berdaulat.

Khamis, 26 Julai 2012

Meyimpan dan Berhutang

Sejak membuat coretan di dalam blog ini terutama sekali mengenai kisah hutang, sebilangan orang ada menyindir mereka-mereka yang berhutang. Ada yang mencerca dan ada yang pula mentertawakan mereka-mereka yang berhutang. Selain daripada itu ada pula yang menasihatkan untuk meyimpan atau menabong wang. Pokoknya banyak perkara yang telah dibangkitkan mengenai hutang. Tapi dalam segala yang dipercakapkan selama ini tidak ada seorang pun yang membangkitkan mengenai hutang pihak bank.

Ya, tuan-tuan dan puan-puan, bank pun juga mempunyai hutang. Malah hutang sebilangan bank adalah lebih jauh besar daripada hutang rakyat dan penduduk. Tapi semua itu tidak ada seorang pun yang ambil peduli mengenainya. Malahan pihak media, Kerajaan dan perseorangan terus-menerus menggalakan pihak bank untuk berhutang dengan lebih besar lagi. Pening?!..hehehe

Memang bank banyak berhutang tapi cuma perkataan hutang itu jarang-jarang sekali diungkapkan dalam konteks perbankan. Apa yang dimaksudkan bank berhutang adalah apabila seseorang itu menyimpan wangnya ke dalam akuan bank. Penyimpanan wang ke dalam bank merupakan satu liabiliti kepada pihak pengurusan bank. Mereka "terpaksa" menjaga dan memberikan pulangan kepada wang simpanan tersebut. Itulah yang dimaksudkan pihak bank berhutang - simpanan wang di dalam bank adalah hutang bank.

Tapi ada orang kisah jika pihak bank mempunyai hutang? Tidakkan! Malah rakyat dan penduduk digalakan untuk terus meminjamkan wang kepada bank sebagai langkah berhemah dan berjimat cermat. Malah jika bank menghadapi masalah, pihak Kerajaan akan membantu "membayarkan" hutang bank melalui penubuhan Brunei Darussalam Deposit Protection Corporation (BDDPC).

Nah bandingkan dengan orang ramai. Apa perlindungan yang diberikan? Ada orang yang mahu membayarkan hutang yang tertunggak? Tidak ada langsungkan?!!. Hutang masih juga perlu dibayar meskipun sampai mati. Malahan setengah ulama mengatakan jika mati dan hutang belum terbayar, roh tidak akan naik.

Sebaliknya kebanyakan orang digalakan untuk terus menerus memberi hutang kepada pihak bank. Ya, orang ramai digalakan untuk "MEMBERI" wang kepada bank. Lucukan! Mengikut laporan BDKI 2011 keluaran JPKE - pihak bank mempunyai hutang sejumlah B$14.105 billion (akhir tahun 2010). Bayangkan jika bank-bank tersebut gagal. Puh! B$14 billion hangus...Tapi ada orang kisah mengenainya? Ada orang riuh mengenainya?

Tetapi apabila orang ramai berhutang, lain pula ceritanya. Memohon wang zakat untuk membayar hutang pun kena marah dan dipercakapkan. Memohon kenaikan gaji untuk bayar hutang pun kena cakapi - tidak pandai bersyukur. Memohon anugerah untuk bayar hutang pun tak dapat sebab tidak layak. So apabila semuanya tidak dapat, orang ramai terus disuruh untuk memberi wang kepada bank sebagai usaha menabong dan meningkatkan taraf kehidupan - apa hendak takut, kalau bank gagal Kerajaan akan bayar B$50,000 sebagai gantinya.....peace.

Rabu, 25 Julai 2012

Dilema Jambatan Temburong - Brunei-Muara

Agak lama juga tidak ada coretan baru terpapar di dalam blog ini. Bukan apa-apa cuma ingin "merehatkan otak" sahaja. Bagaimanapun kali ini ada satu laporan yang menarik perhatian dan ianya adalah mengenai pembinaan jambatan dari daerah Temburong hingga ke Brunei-Muara.
 
Menurut Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Kementerian Pembangunan sedang meneliti dengan terperinci bagaimana jambatan tersebut akan - "DIBIAYAI". Perkara ini boleh dibaca di sini.

Ya, Tuan-tuan dan puan-puan - negara sedang dalam dilema mengenai pembiayaian jambatan tersebut. Negara sedang memikirkan bagaimana mencari wang untuk membiayai jambatan tersebut. Negara hilang punca dalam memikirkan duit yang diperlukan untuk membiayai jambatan berkenaan. Satu ironis kepada semua, bukan?!!!

Nampaknya apa yang dibentangkan selama ini mengenai kefahaman kewangan adalah tepat sekali. Meskipun negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara monetari berdaulat, namun begitu kebanyakan rakyat serta penduduknya mempunyai anggapan yang wang Brunei itu datang dari hasil jualan negara.

Bagi tidak membebankan Yang Berhomat Pehin, mari ajukan persoalan ini - Bolehkah negara membina jambatan Temburong - Brunei-Muara dengan menggunakan matawang Brunei?

Renung-renungkanlah....

Sabtu, 14 Julai 2012

Ekonomi 69...

Hari ini ada laporan akhbar mengenai negara Singapura mengalami pengecutan 1.1 peratus dalam suku kedua KDNK mereka. Mengikut laporan yang dibuat, mengecutan ini berpunca dari kelembaban ekonomi EU. Singapura mempunyai dagangan bersama negara-negara EU sekitar 65 billion Euro. EU adalah rakan niaga dagangan kedua terpenting bagi Singapura. Laporan penuh boleh dibaca di sini.

Seperti yang semua maklum, negara-negara di EU pada ketika ini sedang mengalami kelembaban ekonomi. Dengan hutang negara yang membebankan telah mengugat sebilangan besar ekonomi negara-negara EU seperti Portugal, Ireland, Italy, Greece dan Spain. Ini telah memaksa mereka untuk menjalankan program penjimatan (austerity). Belanjawan negara dipotong, cukai dinaikan, harta kerajaan dilelong dan sebagainya. Ini telah membuatkan keadan menjadi lebih keruh di mana sebilangan besar rakyat dan penduduk mengalami pengangguran dan kemisikinan. Keadaa ini telah memaksa orang-orang EU untuk terus mengikat perut dan tidak mahu berbelanja. Perkara ini boleh dibaca mengenainya di sini, sini, sini, sini, sini.

Tanpa orang mempunyai wang yang mencukupi untuk terus berbelanja maka itulah yang bakal terjadi. Negara Singapura bergantung kepada orang untuk membeli barang jualannya agar ekonominya dapat terus berkembang. Akan tetapi jika tidak ada orang yang mampu membeli maka terjadilah pengecutan KDNK. Bukan sahaja negara Singapura mengalami kemerosotan ekonomi malahan negara-negara yang bergantung kepada pengeksportan juga turut merasa bahangnya seperti China, India, Brazil, Korea Selatan dan sebagainya. Rujuk di sini, sini, sini

Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini untuk mendapatkan ekonomi yang terus berkembang ianya memerlukan perkembangan kewangan yang seiring kerana ekonomi itu adalah mengenai urusan jual dan beli - ada orang menjual dan ada orang membeli. Tanpa itu tiada ekonomi. Begitu juga halnya dengan KDNK. Perkembangan KDNK bergantung sepenuhnya kepada aktiviti jual beli. Tanpa aktiviti jual beli yang sihat maka kita akan melihat terbantut atau penurunan dalam KDNK. Dan segala urusan jual beli itu ianya bergantung sepenuhnya kepada pengaliran wang yang cukup. Tanpa wang tiada siapa yang memahu menjual atau membeli. 

Sejak sekian lama pertumbuhan KDNK negara agak merundung dan kebanykan orang telah mengakuinya. Akan tetapi tiada siapa yang mahu membuat sesuatu mengenainya. Apa yang didengar adalah sebaliknya. Tahun-tahun dicakapkan mengenai hutang rakyat yang tertunggak kepada Kerajaan, pengkukuhan kewangan negara, meningkatan eksport, penswastaan, mengungkit subsidi dan sebagainya. Tapi tidak ada orang yang pernah mempersoalkan jika rakyat dan penduduk itu mempunyai wang yang mencukupi di dalam tangan mereka untuk membuat urusan jual beli dan seterusnya memangkin pertumbuhan ekonomi negara!

Oleh yang demikian jika negara mahu mempunyai ekonomi yang sihat dan berdaya saing, negara perlu yakin kepada matawangnya sendiri. Gunakanlah sepenuhnya kelebihan negara sebagai sebuah negara monetari berdaulat. Ingatlah ekonomi itu bergantung kepada urusan jual beli dan untuk mendapatkan urusan jual beli, ianya memerlukan orang mempunyai wang yang mencukupi di dalam tangannya. Perlu semua sedar bahawa membuat wang itu tidak memerlukan emas, minyak, gas ataupun benda-benda yang berharga sebagai sandaran wang negara. Malahan wang negara tidak akan pandai habis meskipun sampai hari kiamat.

Fikir-fikirlah.........

Jumaat, 13 Julai 2012

Kan! Kan! Kan!....

Iakah? Itu adalah perkataan yang terbit dari saya apabila membaca tajuk berita di dalam suratkhabar tempatan kita mengenai KDNK negara. Menurut Yang Berhormat Pehin Datu Singamenteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohd Yasmin Bin Haji Umar - Menteri Tenaga, pertumbuhan tahunan KDNK "fell short" atau gagal untuk mencapai sasaran yang termaktub dalam Wawasan 2035. Pada tahun 2011, laporan suku KDNK negara menunjukan ianya "turun naik" diantara 1.3 dan 2.7 peratus. Kita boleh baca selanjutnya di sini.

Kan..kan...kan...apa nyangku! Dari tahun lepas perkara ini sudah saya bangkitkan. Seperti coretan saya selama ini, selagi perbelanjaan negara berada dalam lingkungan B$5~6 billion setahun, selagi itu KDNK tidak akan naik-naiknya. Di tambah lagi dengan dasar lebihan belanjawan, maka KDNK negara tidak akan berganjak melebih 3 peratus setiap tahun. Selain daripada itu dengan suasana di mana kebanyakan rakyat dan penduduk kita penyahumpilan (deleveraging) beban hutang peribadi maka ianya akan mengeruhkan lagi pertumbuhan KDNK negara.

Jestru itu jika negara berhajat benar untuk meningkatkan KDNK, kita mesti akur yang negara kita adalah sebuah negara monetari berdaulat. Dalam erti kata yang lain, negara kita mempunyai kemampuan untuk berbelanja besar dan membuat perlaburan di dalam negaranya sendiri tanpa perlu menunggu hasil minyak ataupun gas mahupun jua pelaburan asing. Negara kita tidak akan menjadi muflis meskipun minyak kita habis ataupun segala pelaburan negara gagal.

Nak industri perkapalan, buat tia. Nak loji penapis minyak baru di Pulau Muara Besar, bina tia. Nak pengangkutan awam yang serba canggih, kali tia. Nak semua orang berkerja, beri tia. Tidak ada apa-apa yang boleh menghalang kita untuk mencapai wawasan kita. Begitu juga, tidak ada sebuah pertubuhan mahu pun kerajaan asing yang boleh menghalang kita untuk membuat wang kita dan berbelanja di dalam negaranya sendiri.

Selain daripada itu juga, diantara komponen untuk meningkatkan KDNK ialah keupayaan sektor persendirian untuk berbelanja. Rakyat dan penduduk kita perlu mempunyai wang yang mencukupi di dalam tangan mereka untuk memangkin pertumbuhan perekonomian seterusnya. Tanpa perbelanjaan rakyat dan penduduk, sebesar mana pun projek yang dibangunkan ianya tidak akan membawa pertumbuhan KDNK sepertimana yang kita alami ketika kini.

Meskipun banyaknya projek-projek pembangunan di sana-sini tapi KDNK masih juga berada di bawah tahap 3 peratus setahun. Kenapa demikian? Bagi saya, ini gara-gara duit dari projek tersebut tidak semuanya sampai ke dalam tangan kita. Hanya segelintir daripada kita yang menikmati wang projek tersebut. Jadinya macam mana kita sebagai masyarakat umum hendak berbelanja?! Bak pepatah orang - no money no talk. Ada pun berbelanja, itupun cukup-cukup makan sahaja.

Renung-renungkanlah.......

Khamis, 12 Julai 2012

Perkerjaan Swasta Lagi

Kelmarin seramai 47 orang kita telah menerima sijil di atas kejayan mereka menamatkan latihan dalam perkhidmatan (OJT) bersama sektor swasta anjuran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN). Dalam penyampaian sijil tersebut, seramai 36 orang daripada 47 perserta tersebut juga menandatangani kontrak perjanjian untuk berkerja secara tetap dengan 14 buah syarikat tempatan. Laporan sepenuhnya boleh kita baca di sini.

Mengikut laporan yang dibuat mereka-mereka yang berkhidmat secara tetap dengan syarikat swasta akan menerima imbalan kewangan daripada pihak Kerajaan sebanyak B$2,500 dalam tempoh 2 tahun. Itu bererti setiap perserta akan menerima imbuhan daripada Kerajaan sebanyak B$100 sebulan (lebih kurang). Disamping itu juga sebahagian majikan ada memberikan insentif seperti tambang umrah berserta wang saku B$2,000 bagi mereka-mereka yang telah berkhidmat selama 3 tahun dan tambang haji berserta wang saku B$3,000 kepada mereka-mereka yang telah berkhidmat selama 7 tahun.

Secara peribadi saya ingin melihat segala usaha negara kita dalam membantu mereka-mereka yang menganggur untuk memperolehi perkerjaan mendatangkan kejayaan. Pemberian latihan dalam perkhidmatan serta wang insentif merupakan satu kaedah yang terbaik. Namun begitu pada pendapat saya, ianya bercorak sementara sahaja. Persoalannya apakah yang terjadi setelah para perserta yang terlibat berkerja 2 tahun? Adakah para perserta tersebut akan terus berkhidmat di dalam sektor swasta?

Saya adalah seorang yang optimistik dan suka melihat apabila sesuatu yang diungkayahkan berjaya meskipun ianya mempunyai banyak rintangan dan cabaran. Akan tetapi dalam hal ini, saya berasa agak pesimis akan kejayaan program yang dianjurkan memandangkan taraf kehidupan serta harapan para perserta untuk membina kehidupan di dalam negara kita.

Kita perlu akur yang kita memerlukan wang dalam kehidupan kita. Tanpa wang kehidupan yang bakal kita lalui akan menjadi suram. Dan berkerja merupakan cara kita untuk mendapatkan wang. Kita menjual tenaga, keringat serta buah fikiran kepada mereka-mereka yang sudi untuk membeli. Namun begitu apakah imbalan yang bakal diterima oleh si penjual tersebut adalah bermakna bagi dirinya atau keluarganya (bagi yang sudah mempunyai tanggongan)?

Itulah persoalan yang perlu kita menjawab secara jujurnya. Pada pandangan saya, jika perkerjaan yang ditawarkan itu "gagal" untuk memberikan gaji yang bermakna, maka apa jua usaha kita selama ini akan menemui kebuntuan. Kita perlu faham yang masyarakat kita bukanlah masyarakat pemilih perkerjaan. Ini kita boleh lihat sendiri dengan adanya anak-anak bangsa kita berkhidmat sebagai atendan pam minyak, pembersih di food court mall, pelayan di restaurant seperti Mc Donlad, Jollibee dan sebagainya. Tapi semua itu bercorak sementara. Tidak seperti berkerja dengan BSP, DST, Bank, BLNG, BST, RBA dan sebagainya, di mana ada sebilangan anak bangsa kita berkerja sampai berpulohan tahun lamanya!

Jestru itu, untuk memantapkan lagi usaha yang sedang dijalankan, saya mencadangkan agar pihak Kerajaan kita untuk:

a. Melaratkan segala kemudahan yang diterima oleh perkerja awam kepada semua anak bangsa kita yang berkhidmat dengan sektor swasta.

b. Mentiadakan potongan TAP dan SCP kepada mereka-mereka yang mempunyai gaji B$500 sebulan kebawah dan juga mereka yang berkerja secara Part Time. Curaman TAP dan SCP perkerja digantikan dengan curaman majikan dan Kerajaan.

c. Mengurangkan cukai korprat yang ada ketika ini kepada 10 peratus.

d. Memberikan jaminan pendapatan B$1,500 setiap bulan kepada mereka-mereka yang berkerja secara persendirian seperti petani, nelayan dan sebagainya.

e. Membesarkan subsidi Kerajaan dalam sektor pertanian, perikanan dan perindutrian seperti baja, racun, kelengkapan, makanan ternakan, pengeksportan dan sebagainya.

Saya yakin dengan adanya tambahan seperti yang dicadangkan di atas, isu masalah pengangguran dan berkerja dalam sektor swasta akan dapat kita atasi. Keyakinan ini berpunca dari fakta yang negara kita, Brunei Darussalam, adalah sebuah negara monetari berdaulat dan mempunyai kemampuan untuk berbelanja tanpa menggunakan hasil minyak dan gas atau yang seumpamanya. Malahan negara kita tidak akan menjadi muflis apatah lagi dalam matawangnya sendiri gara-gara meningkatkan kualiti kehidupan anak jatinya.

Fikir-fikirlah.......

Selasa, 10 Julai 2012

Tuntulah Ilmu Itu Hingga Ke Negara Cina...

Sejak kebelakangan ini, saya telah mendapati ada peningkatan aktiviti dalam usaha menggalakan anak bangsa kita untuk terus menuntut ilmu. Sebagai contoh kelmarin, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan telah menerima 90 orang anak bangsa kita untuk mengikuti program ICT selama 3 bulan. Sementara itu, pada Sabtu lepas, seramai 278 pemohon telah berjaya untuk mengikuti pengambilan pertama Skim Pembangunan Kapasiti Manusia untuk Sektor Swasta. Kita boleh membaca perkara ini dengan lebih lanjut di sini dan sini.

Bagi saya semua ini adalah satu perkembangan yang positif kepada negara kita. Kerajaan telah mengambil langkah yang bijak dalam usaha memantapkan sumber tenaga manusianya. Saya yakin negara kita akan memperolehi sumber tenaga manusia yang berilmu, berkemahiran dan berinovasi. Semua ini sejajar dengan hasrat negara kita seperti yang terkandung dalam wawasan negara 2035.

Namun begitu dari apa yang saya baca dan fahami, kesemua ini berasakan dengan paradigma bahawa pihak swasta akan memberikan peluang perkerjaan kepada para perserta yang terlibat. Rata-rata program-program yang dijalankan menjurus kepada pengalibatan pihak swasta untuk memikul tanggungjawab dalam penyediaan perkerjaan yang bersesuaian. Persoalannya apakah pihak swasta kita mampu untuk memberikan gaji yang bermakna (meaningful income) kepada kesemua bakal-bakal graduan tersebut?

Selain daripada itu juga saya mempunyai kekhuatiran yang negara kita besar kemungkinan "missing the whole point or picture" mengenai isu pengangguran. Saya khuatir sebilangan daripada kita mempunyai tanggapan bahawa punca pengangguran di dalam negara adalah disebabkan kurang kemahiran dan pendidikan bagi sebilangan besar anak bangsa kita. Maka kerana itulah pihak swasta kita telah memilih perkerja asing daripada anak bangsanya sendiri. Berasaskan kepada kefahaman ini, negara kita telah bertindak secara agresif dalam menyediakan program-program pendidikan.

Apa-apa pun jua, pihak Kerajaan kita telah mengambil langkah yang bijak dalam memberikan peluang kepada anak bangsa kita untuk terus menimba ilmu dan kemahiran. Akan tetapi perjalanan negara kita dalam memberikan peluang perkerjaan kepada mereka-mereka yang terlibat adalah masih jauh. Bagi saya, hanya bantuan serta sokongan pihak Kerajaan secara berterusan dapat menghasilkan kejayaan yang diharap-harapkan. Sesungguhnya pihak Kerajaan kita mempunyai kuasa dan kapasiti untuk berbuat demikian.

Isnin, 9 Julai 2012

Smile Your Are On Candid (Police) Camera!

Bulan lepas pihak polis kita telah menandatangani kontrak bernilai B$5 juta dengan RBTS bagi "mereka, membekalkan, menghantar, memasang dan menjayakan rangkaian kebangsaan pengawasan video". Dalam perjanjian tersebut sejumlah 110 litar tutup kamera tv (CCTV) akan dipasang di pusat bandar kita. Kita boleh baca sepenuhnya di sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pemasangan sistem pengawasan CCTV adalah bertujuan untuk pencegahan jenayah, mengumpul risikan, dan maklumat mengenai jenayah dan kesalahan lalulintas. Pada masa yang sama, ianya akan membawa kepada kecekapan dalam penggunaan sumber melalui penggunaan teknologi dan secara drastiknya mengurangkan sumber tenaga manusia di kawasan tertentu, menurut kenyataan pihak polis lagi. Pokoknya berbagai "faedah" akan terbit dari pemasangan CCTV ini.

Apa-apa pun jua keberkesanan pemasangan CCTV dalam pencegahan jenayah adalah tidak begitu jelas. Banyak sudah kajian yang telah dilakukan dalam menentukan keberkesanan CCTV dalam mengurangkan kadar jenayah. Dari apa yang saya baca dan tafsirkan - keberkesanan CCTV adalah bercampur-aduk. Kita boleh semak hasil kajian-kajian yang dilakukan di sini.

Bagi saya, pemasangan CCTV ini tidak akan menghalang jenayah untuk terus berlaku. Sebagai contoh, kita boleh lihat dan dengar mengenai berita-berita rompakan kedai emas yang terjadi di dalam negara kita. Meskipun CCTV dipasang di dalam kedai emas, rompakan masih juga dilakukan. Yang sedihnya lagi, CCTV ini hanya "melihat" kejadian tersebut dan tidak boleh berbuat apa-apa untuk menghalang rompakan tersebut terjadi. Itu baru rompakan kedai emas. Cuba bayangkan sahaja jika ada percubaan membunuh, rogol dan sebagainya - apakah CCTV tersebut akan dapat menghalang si mangsa daripada dibunuh, dirogol, dibelasah atau disamun?

Pada hemat saya adalah lebih baik dan berkesan jika pihak polis meningkatkan jumlah anggota mereka. Saya yakin kaedah ini lebih efektif dalam pencegahan jenayah jika dibandingkan dengan pemasangan CCTV. Dengan adanya lebih ramai anggota polis digaji maka lebih banyak lagi rondaan boleh dilakukan. Kita akan merasa lebih selesa dan selamat dengan adanya anggota polis "berkeliaran" di tempat-tempat yang tertentu, kawasan bandar dan kampung daripada hanya bergantung sepenuhnya kepada "mata" yang terpasang ditiang-tiang lampu ataupun dinding-dinding bangunan. Saya percaya tidak ada diantara kita akan berkelakuan "capi-capi" didepan anggota polis, betul tak?

Kehadiran anggota polis ditengah-tengah masyarakat juga akan memberikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi-agensi keselamatan. Adanya kehadiran anggota polis dalam kehidupan seharian, menunujukan sikap pemedulian dan pirhatin pihak polis terhadap masyarakat sekelliling terutama sekali dalam aspek keselamatan, kesejahteraan serta kebajikan. Perkara ini boleh kita anggap sebagai kaedah pihak keselamatan dalam memenangi hati dan jiwa (winning hearts and minds) masyarakat.

Selain daripada itu, penggunaan CCTV yang berleluasa seolah-olah menggugat privasi rakyat dan penduduk negara kita. Janganlah hanya kerana negara lain telah maju dalam penggunaan CCTV maka kita juga "terpaksa" mengikut. Apakah kita mahu setiap aktiviti harian kita diawasi 24 jam 365 hari? Di mana garis pemisah antara privasi seseorang dan pencegahan? Apakah kita berkeinginan benar untuk mengikut jejak langkah seperti negara US dalam memantau, memerhati dan merisik rakyat dan penduduknya sendiri?

Jestru itu saya lebih yakin dengan adanya ramai lagi anggota polis ditempatkan di sana-sini, kadar jenayah pasti akan turun secara drastiknya jika dibandingkan dengan pemasangan CCTV. Kehadiran pihak polis juga membolehkan kita untuk membina keyakinan dan kepercayaan antara kita dengan pihak berkuasa. Malahan penggunaan sumber tenaga manusia yang berterusan akan dapat menjamin peluang perkerjaan kepada keturunan kita dimasa-masa akan datang.

Renung-renungkanlah..........

Ahad, 8 Julai 2012

Bank Islam, Adakah Ianya Mengikut Shariah?

Sudah lama ingin saya bangkitkan peerkara ini, adakah bank islam betul-betul mengikut shariah? Sejak saya mula memahami konsep makroekonomi, saya mula sedar yang besar kemungkinan tatacara pengurusan bank islam dalam hal kewangan bukan mengikut shariah. Malah jika kita amati dengan teliti, ianya mempunyai unsur "keraguan".

Sebelum para pembaca "emosi" dengan kenyataan saya di atas, biar saya menjelaskan perkara tersebut dengan lebih lanjut lagi. Perlu semua memahami bahawa saya tidak mempunyai niat apa-apa sama ada ianya berbentuk fitnah ataupun gossip terhadap mana-mana institusi kewangan islam. Malah saya amat menyanjung usaha yang dibuat oleh sebilangan masyarakat kita dalam membina kewangan islam. Namun apa-apa pun jua, saya mempunyai firasat yang tatacara kewangan islam itu tidak mengikut kehendak syarak yang sebenarnya.

Bagi menerangkan pendapat saya ini, mari kita amati senario yang saya sampaikan di bawah.

a. Satu hari si Ahmad berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan si Minah. Akan tetapi Ahmad mendapati yang dia tidak mempunyai cukup wang untuk membayar "belanja hangus" si Minah mahupun mengadakan majlis perkahwinanya.

b. Untuk mengatasi masalah tersebut si Ahmad bercadang untuk meminjam wang dari bank. Secara kebetulan, gaji bulanan si Ahmad masuk dalam sebuah bank islam. Mari kita gelar bank islam tersebut dengan Bank Alif Ba Ta.

c. Maka pada hari Isnin yang lalu, si Ahmad pun pergi berjumpa dengan bank Alif Ba Ta dengan "niat" untuk meminjam wang dari mereka bagi tujuan perkahwinan. Semasa perjumpaan si Ahmad dengan bank Alif Ba Ta, si Ahmad telah menerangkan "niatnya" untuk meminjam wang bagi majlis perkahwinan beliau.

d. Pihak bank Alif Ba Ta dengan rasa penuh minat mendengar penjelesan dari si Ahmad akan tujuan beliau datang ke bank hari itu. Dengan menekan beberapa kekunci papan komputer, pegawai kewangan bank Alif Ba Ta, memaklumkan yang pihak bank boleh "memberikan pinjaman" kepada si Ahmad bagi tujuan majlis perkahwinan beliau. Maka borang permohonan pun diberikan kepada si Ahmad untuk diisi dan dikembalikan semula dengan dokument yang diperlukan oleh pihak bank Alif Ba Ta.

e. Dengan rasa penuh gembira, si Ahmad pun mengisi borang tersebut dan mengembalikanya disebelah petang hari Isnin. Selang beberapa hari kemudian, si Ahmad mendapat panggilan talipon dari pihak bank Alif  Ba Ta mengatakan "permohonan pinjaman" beliau telah pun diluluskan dan si Ahmad perlu datang ke bank untuk menandatangani surat perjanjian.

f. Pada hari Jumaatnya, si Ahmad pun datang ke bank Alif Ba Ta untuk menandatangani surat perjanjian "pinjaman wang" beliau. Semasa menandatangai surat perjanjian tersebut, pegawai kewangan bank Alif Ba Ta menerangkan yang pihak bank Alif Ba Ta menjual beberapa kilo emas kepada si Ahmad dan membeli semula emas tersebut pada harga yang tertentu. Emas yang hendak dijual tidak "dilihatkan" kepada si Ahmad dan transaksi jual beli tidak nampak oleh si Ahmad kerana proses jual beli si Ahmad dangan bank Alif Ba Ta mengikut cara "akad".

g. Oleh sebab terlalu gairang dengan kelulusan pinjaman wang tersebut - "niat" si Ahmad terkabul untuk "meminjam wang" maka si Ahmad pun menandatangani surat perjanjian tersebut "tanpa" membaca sepenuhnya isi kandungan perjanjian tersebut. Dalam waktu yang sama si Ahmad bertanya bila keluar wang yang dipinjamnya itu dan pihak bank Alif Ba Ta memberitahu ianya akan "dikreditkan" ke dalam akuan si Ahmad tidak lama lagi. Insyallah wang tersebut akan masuk ke dalam akuan si Ahmad sama ada esok ataupun lusa.

Itu adalah senario yang selalu kita hadapi apabila kita meminjam wang dari mana-mana institusi kewangan. Apa yang menarik dalam senario tersebut adalah perkataan yang saya italic. Selain daripada itu juga, menurut kefahaman saya dalam aspek kewangan bank, wang yang dipinjamkan tersebut tidak wujud pada mulanya. Ianya hanya wujud apabila ianya dikreditkan ke dalam akuan si peminjam. Itu pun dalam bentuk bit komputer "1" dan "0" bukanya berbentuk wang tunai. Tak percaya cuba masukan kad ATM ke dalam mesin ATM dan lihat wang yang ada - apakah ianya berbentuk wang tunai? Tidakan!!

Apabila si peminjam mengeluarkan "wang" tersebut dari akuannya, wang tunai tersebut akan datang dari wang simpanan (bank reserve) bukanya wang simpanan pelanggan bank. Dalam waktu yang sama, bank akan memasukan catatan dalam buku kira-kira mereka akan aset yang mereka terbit (perolehi) dari wang pinjaman tersebut. Sementara itu pula wang pinjaman kepada si peminjam akan menjadi liabiliti kepada si peminjam. Semua ini adalah konsep double book accounting - kredit dan debit.

Jika pihak bank tidak mempunyai cukup wang simpanan, mereka akan "meminjam" wang tersebut dari bank lain ataupun bank pusat. Itu sebabnya kita ada interbank interest rate. Itu cuma kadar faedah yang dikenakan diantara bank-bank yang meminjam dengan sesama mereka. Meskipun bank tersebut meminjam wang untuk memberikan wang tunai kepada pelanggan yang meminjam wang tersebut, buku kira-kira tidak mencatitkan pengurangan kewangan dalam bank yang berkenaan kerana ianya telah diganti dengan aset yang tercipta memlalui pinjaman yang dibuat - lagi double book accounting.

Maka berasakan dengan perkara di atas, adakah kita masih boleh anggap yang bank islam mengikut kehendak syarak dalam urusniaga mereka? Saya serahkan kepada para pembaca untuk menilainya.....

Jumaat, 6 Julai 2012

Tuah Ayam Kita...

Baru-baru ini negara kita telah mengumumkan untuk memperuntukan sehingga B$5 juta bagi setiap projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan di dalam negara kita. Menurut pengumuman tersebut lagi, skim sedemikian adalah bertujuan untuk menarik minat syarikat asing bagi membuat penyelidikan dan penyelidikan di dalam negara kita. Kita boleh baca sepenuhnya di sini.

Mengikut laporan Wikipedia, pada tahun 2010 negara US telah memperuntukan sejumlah US$405.3 billion dan bagi negara Ethiopia pula telah memperuntukan US$100 juta. Negara Iceland yang mempunyai jumlah penduduk yang hampir sama dengan negara kita, telah berbelanja sejumlah US$300 juta ataupun 2.3 peratus KDNK negara mereka untuk R&D. Mmmmm....inda apalah. Mana tahu bidalan kita - tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu........ ada lurusnya. Ada soalan???

Suka Ku Eh!

Suka benar saya membaca laporan terbaharu yang dibuat oleh pihak Oxford Business Group (OBG) mengenai perkembangan perbankan di dalam negara kita. Kita boleh rujuk laporan tersebut di sini. Semuanya bagus-bagus belaka. Malahan sejak OBG membuat laporan mereka terhadap negara kita bermula 2008, belum pernah saya terbaca laporan yang agak negative mengenai negara kita. Rata-rata buku laporan yang saya baca (2008 - 2011) semuanya manis-manis belaka.

Berasakan kepada perkara ini, ianya telah membuatkan saya bertanya kepada diri sendiri, apakah mereka ini betul-betul jujur dalam membuat laporan mereka mengenai suasana perekonomian negara kita? Atau OBG hanya ingin menyamankan hati kita semua? Secara jujurnya, saya kurang pasti. Hanya tuhan sahaja tahu isi hati mereka apabila OBG membuat laporan mereka. Pada pandangan saya, kebanyakan perkara yang dilaporkan bercanggah dengan realiti ekonomi negara kita.

Menurut laporan yang dibuat oleh pihak OBG tahun 2011, pada penghujung tahun 2010 sahaja, pinjaman peribadi masih lagi menguasai aktiviti urusniaga bank-bank di dalam negara kita iaitu pada kadar 64.6 peratus (sekitar B$3.35 billion) daripada jumlah pinjaman yang dikeluarkan oleh pihak bank. Dari jumlah tersebut, satu pertiga pinjaman yang dikeluarkan - B$1.23 billion adalah merupakan pinjaman perumahan dan selebihnya B$2.13 billion sebagai kegunaan peribadi.

Jika data-data yang di atas adalah betul sepertimana yang dilaporkan, bagaimana pihak bank kita yang dilaporkan oleh OBG begitu "yakin" dengan keupayaan mereka untuk mendapatkan keuntungan di masa-masa hadapan dengan dasar-dasar negara kita terutama sekali mengenai pinjaman peribadi? Seperti yang kita maklum, negara kita telah menguatkuasakan peraturan mengenai pinjaman perbadi dan kad kredit yang begitu ketat sehingga pihak bank sendiri melaporkan pertumbuhan perlahan (slowed growth) terutama sekali dalam perbankan retail. Selain daripada itu juga, pertumbuhan jumlah perkerjaan yang agak lembab, membuatkan saya agak bingung dengan kenyataan "keyakinan" yang dilaporkan.

Memandangkan kepayahan pihak bank untuk menambah untung mereka, saya rasa inilah puncanya kebanyakan pihak bank kita begitu agresif sejak kebelakangan ini dalam mempromosi berbagai produk mereka seperti skim pinjman rumah, kad debit, tawaran kad kredit dan sebagainya. Contohnya boleh kita lihat di sini, sini, sini, sini dan banyak lagi.

Bagi pandangan saya, jika pinjaman peribadi masih lagi menguasai sebilangan besar aktiviti urusniaga pihak bank, saya rasa "keyakinan" yang dilaporkan tidak akan bertahan begitu lama. Ini disebabkan jika pihak bank gagal untuk membuat "pinjaman" baru, ini bererti mereka tidak dapat menambah usin mereka seterusnya. Bayangkan sahaja, di mana mereka nak korek duit nak bayar interest atau untung kepada usin simpanan pelanggan mereka?! Belum lagi tu, nak bayar sewa kedai, bayar gaji, bayar lektrik dan sebagainya. Silap-silap ada yang jual seluar dalam ni....hehehe...peace

Isnin, 2 Julai 2012

Kekurangan Tenaga Kerja?

Mengikut laporan akhbar hari ini, negara kita kini sedang mengalami kekurangan tenaga kerja Thai terutama sekali dalam sektor pembinaan. Di antara punca kekurangan tenaga kerja ini adalah apabila sebilangan para pekerja Thai lebih gemar untuk berkerja di negara China atau Taiwan. Alasan yang diberikan, negara-negara tersebut memberikan gaji yang lebih tinggi daripada berkerja di dalam negara kita. Selain daripada itu jua, kos agensi yang mahal membuatkan kebanyakan perkerja Thai berfikir dua kali untuk berkerja di negara kita. Kita boleh baca sepenuhnya di sini.

Dengan pihak Kerajaan kita sedang sibuk membina 17,300 buah rumah menjelang 2014, keperluan tenaga kerja adalah amat tertekan bagi sebilangan syarikat-syarikat pembinaan. Jika kita baca laporan suratkhabar itu lagi, kekurangan tenaga pekerja Thai di dalam sektor pembinaan ini telah ditampong oleh mereka-mereka dari negara-negara seperti Vietnam, Indonesia dan India. Namun begitu, kebanyakan pekerja-pekerja tersebut adalah mereka-mereka yang kurang berkemahiran.

Tapi dalam waktu yang sama, dalam laporan BDKI 2011 terbitan JPKE, negara kita kini mempunyai 5,300 orang penganggur (mereka yang mendaftar dengan Jabatan Buruh). Meskipun dengan jumlah penganggur yang ada, kita masih cendrung untuk mengaji orang luar daripada orang kita. Kita masih rela untuk memberi banyak "keistemewaan" kepada orang luar daripada orang kita. Begitu juga kita lebih suka "mencaci" anak tempatan kita dengan paradigam yang mengatakan orang kita tidak sanggup untuk menjadi buruh kasar, orang kita tidak tahan panas matahari dan sebagainya. Kenapa kita sanggup berbuat demikian?

Jika benar anak tempatan kita tidak sanggup untuk berkerja dalam sektor pembinaan, kenapa ada sebilangan daripada anak tempatan kita yang sanggup untuk berjemur dibawah matahari seharian apabila berkerja dengan BSP. Malahan mereka boleh senyum riang meskipun muka hitam legam. Dan apabila ditemuramah, rata-rata mereka akan berkata dengan megahnya bahawa berkerja dengan BSP adalah cita-cita mereka sejak kecil lagi! Jangantah sebut BSP sahaja, malah ada sebilangan daripada anak tempatan kita sanggup menjadi buruh kasar, meyapu jalanraya, tukang kebun, pembersih dan sebagainya - tak percaya, cuba tanyakan dengan Jabatan Bandaran.

Jadinya, kenapa kita tak ambil anak tempatan kita untuk berkerja disektor pembinaan? Kenapa kita lebih rela dan sanggup untuk mengupah orang Thai, Vietnam, Indonesia dan India daripada anak tempatan kita?

Fikir-fikirlah.........