Bulan lepas pihak polis kita telah menandatangani kontrak bernilai B$5 juta dengan RBTS bagi "mereka, membekalkan, menghantar, memasang dan menjayakan rangkaian kebangsaan pengawasan video". Dalam perjanjian tersebut sejumlah 110 litar tutup kamera tv (CCTV) akan dipasang di pusat bandar kita. Kita boleh baca sepenuhnya di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pemasangan sistem pengawasan CCTV adalah bertujuan untuk pencegahan jenayah, mengumpul risikan, dan maklumat mengenai jenayah dan kesalahan lalulintas. Pada masa yang sama, ianya akan membawa kepada kecekapan dalam penggunaan sumber melalui penggunaan teknologi dan secara drastiknya mengurangkan sumber tenaga manusia di kawasan tertentu, menurut kenyataan pihak polis lagi. Pokoknya berbagai "faedah" akan terbit dari pemasangan CCTV ini.
Apa-apa pun jua keberkesanan pemasangan CCTV dalam pencegahan jenayah adalah tidak begitu jelas. Banyak sudah kajian yang telah dilakukan dalam menentukan keberkesanan CCTV dalam mengurangkan kadar jenayah. Dari apa yang saya baca dan tafsirkan - keberkesanan CCTV adalah bercampur-aduk. Kita boleh semak hasil kajian-kajian yang dilakukan di sini.
Bagi saya, pemasangan CCTV ini tidak akan menghalang jenayah untuk terus berlaku. Sebagai contoh, kita boleh lihat dan dengar mengenai berita-berita rompakan kedai emas yang terjadi di dalam negara kita. Meskipun CCTV dipasang di dalam kedai emas, rompakan masih juga dilakukan. Yang sedihnya lagi, CCTV ini hanya "melihat" kejadian tersebut dan tidak boleh berbuat apa-apa untuk menghalang rompakan tersebut terjadi. Itu baru rompakan kedai emas. Cuba bayangkan sahaja jika ada percubaan membunuh, rogol dan sebagainya - apakah CCTV tersebut akan dapat menghalang si mangsa daripada dibunuh, dirogol, dibelasah atau disamun?
Pada hemat saya adalah lebih baik dan berkesan jika pihak polis meningkatkan jumlah anggota mereka. Saya yakin kaedah ini lebih efektif dalam pencegahan jenayah jika dibandingkan dengan pemasangan CCTV. Dengan adanya lebih ramai anggota polis digaji maka lebih banyak lagi rondaan boleh dilakukan. Kita akan merasa lebih selesa dan selamat dengan adanya anggota polis "berkeliaran" di tempat-tempat yang tertentu, kawasan bandar dan kampung daripada hanya bergantung sepenuhnya kepada "mata" yang terpasang ditiang-tiang lampu ataupun dinding-dinding bangunan. Saya percaya tidak ada diantara kita akan berkelakuan "capi-capi" didepan anggota polis, betul tak?
Kehadiran anggota polis ditengah-tengah masyarakat juga akan memberikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi-agensi keselamatan. Adanya kehadiran anggota polis dalam kehidupan seharian, menunujukan sikap pemedulian dan pirhatin pihak polis terhadap masyarakat sekelliling terutama sekali dalam aspek keselamatan, kesejahteraan serta kebajikan. Perkara ini boleh kita anggap sebagai kaedah pihak keselamatan dalam memenangi hati dan jiwa (winning hearts and minds) masyarakat.
Selain daripada itu, penggunaan CCTV yang berleluasa seolah-olah menggugat privasi rakyat dan penduduk negara kita. Janganlah hanya kerana negara lain telah maju dalam penggunaan CCTV maka kita juga "terpaksa" mengikut. Apakah kita mahu setiap aktiviti harian kita diawasi 24 jam 365 hari? Di mana garis pemisah antara privasi seseorang dan pencegahan? Apakah kita berkeinginan benar untuk mengikut jejak langkah seperti negara US dalam memantau, memerhati dan merisik rakyat dan penduduknya sendiri?
Jestru itu saya lebih yakin dengan adanya ramai lagi anggota polis ditempatkan di sana-sini, kadar jenayah pasti akan turun secara drastiknya jika dibandingkan dengan pemasangan CCTV. Kehadiran pihak polis juga membolehkan kita untuk membina keyakinan dan kepercayaan antara kita dengan pihak berkuasa. Malahan penggunaan sumber tenaga manusia yang berterusan akan dapat menjamin peluang perkerjaan kepada keturunan kita dimasa-masa akan datang.
Renung-renungkanlah..........