Khamis, 8 Ogos 2013

Musang Berjanggut

Sempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, berbagai usaha sama ada secara individu ataupun kolektif dalam membantu mereka-mereka yang kurang bernasib baik. Dari huluran wang ringgit hingga membina sebuah banglo. Itulah kelebihan bulan Ramadhan di mana-mana sahaja semua orang bagaikan berlumba-lumba untuk mendapatkan keberkatan illahi.

Tapi apakah ini yang termampu dilakukan oleh negara dalam membawa sebahagian masyarakat keluar dari kancah kemiskinan?

Negara terkenal sebagai salah sebuah negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang tertinggi di dalam dunia.  Namun begitu negara masih sahaja mempunyai mereka-mereka yang daif. Sepatutnya perkara ini tidak perlu terjadi lebih-lebih lagi negara adalah sebuah negara monitari berdaulat dan sedang mengamalkan sistem kewangan fiat.

Yang menyedihkan mengenai kisah-kisah kedaifan ini adalah seolah-olah ianya tidak menjujung hasrat KDYMM. Bukankah KDYMM pernah bertitah dengan menyatakan hasrat baginda untuk melihat negara sifar kemiskinan! Jadinya dimanakah silapnya? Bukankah bangsa negara ini adalah sebuah bangsa yang menjujung titah?! Dari 2010 dan sekarang 2013, negara masih mempunyai kisah-kisah yang memilukan hati.

Jangan-jangan menunggu musang berjanggut baru tah kali kemiskinan dapat dihapuskan dari muka bumi Negara Brunei Darussalam.

Ketahuilah masalah kemiskinan di dalam negara dapat di atasi dengan mudah sekali. Apa yang perlu dilakukan adalah cuma untuk memahami apa ertinya menjadi sebuah negara monitari berdaulat. Ketahuilah sejak 15 Ogos 1971, dunia termasuk negara telah mengamalkan sistem kewangan fiat. Ketahuilah duit itu free.

Akhir kalam, Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin...........

Sabtu, 20 April 2013

Subsidi - Satu Beban Negara?

Hari ini ada terpapar di dalam suratkhabar tempatan mengenai pemberian subsidi minyak oleh pihak Kerajaan. Menurut laporan bank pembangunan asia (ADB), pemberian subsidi minyak yang terdapat di dalam negara adalah merupakan satu beban kepada kewangan Kerajaan. Menurut laporan ABD itu lagi, negara telah memperbelanjakan lebih daripada B$500 juta pada tahun 2011 dan ianya merupakan lebih daripada 3 peratus KDNK negara. Laporan penuh boleh dibaca di sini.

Itu dia Tuan-tuan dan puan-puan. Satu pendekatan yang 'cetek' terhadap hal ehwal kewangan negara. Yang lebih sedihnya lagi ialah apabila laporan tersebut bulat-bulat 'ditelan' oleh pihak media dan sebilangan penduduk negara ini. Apa tidaknya, tajuk laporan itu sendiri mengatakan perbelanjaan B$500 juta ke atas subsidi membawa kesan negatif kepada kewangan negara.

Tidakkah mereka semua tahu ataupun sedar bahawa negara adalah sebuah negara monetari berdaulat. Dengan kuasa mutlak yang ada, negara mampu menyediakan B$500 juta ataupun lebih tanpa perlu bersusah payah. Negara tidak perlu menunggu hasil daripada penjualan minyak dan gas negara untuk menyediakan B$500 juta. Negara bukan satu entiti yang sama seperti isi rumah. Kewangan negara tidak sama sekali sama seperti kewangan isi rumah. Negara tidak akan pandai kehabisan wang Brunei walaupun sampai hari khiamat.

Kerana apa?

Kerana wang di dalam dunia ini adalah berasaskan kepada kewangan FIAT. Wang yang tidak yang bersandarkan kepada sesuatu benda. Itu adalah kenyataan dan fakta. Sejak 15 Ogos 1971 lagi, wang yang  terdapat di dalam dunia ini sudah tidak lagi berasaskan kepada apa-apa. Rujuk di sini untuk penjelasannya. Sejak dari tarikh keramat itu, semua negara di dalam dunia boleh sahaja membuat wang mereka dari "thin air". Dan dengan kemajuan informasi dan komputer sekarang ini, wang boleh sahaja dibuat dengan menekan beberapa kekunci di atas papan kekunci komputer. Nak B$500 juta, tekan saja - shift "B", shift "$", angka 5 dan diikuti dengan 8 angka 0. Itu saja. Tidak sampai 10 detik.

Jestru itu berasaskan kepada fakta tersebut, tanyakanlah kepada diri sendiri - apakah negara boleh kehabisan wang Brunei lantas ianya menjadi satu beban kepada negara kerana gara-gara menyediakan subsidi yang secukupnya untuk rakyat dan penduduk di negara ini??? Tentu tidak, bukan?!!!!

Apa-apa pun jua, pihak ADB adalah sebuah organisasi yang betul-betul hipokrit.  Dalam laporan itu sendiri mereka telah mengatakan mengenai impak pengurangan subsidi kepada setiap rakyat dan penduduk. Menurut mereka kenaikan harga minyak US$0.25 seliter sahaja boleh membawa penurunan kepada pendapatan sebenar isi rumah sehingga 4.5 peratus! Kesan tersebut adalah disebabkan pihak isi rumah terpaksa berbelanja lebih untuk minyak, dan juga impak kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Lucukan. Pihak ADB lebih rela untuk rakyat dan penduduk menderita daripada melihat Kerajaan terus menerus berbelanja. Bayangkan sahaja jika negara mentiadakan B$500 juta tersebut, bukankah itu bermakna bahawa rakyat dan penduduk negara ini akan kehilangan B$500 juta. Dari mana rakyat dan penduduk negara ini akan mencari B$500 juta sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membuat wang mereka sendiri.

Renung-renungkanlah.........

Rabu, 17 April 2013

Sejak Bila Negara Tidak Mampu?

Pada persidangan Mesyuarat Majlis Negara (MMN) ke 7 - 2011, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) ada membuat cadangan untuk membina sebuah Balai Budaya. Menurut Menteri KKBS, balai budaya tersebut akan menjadi lambang kegemilangan budaya Brunei. Laporannya boleh dirujuk di sini. Tapi pada persidangan ke 9 MMN baru-baru ini, cadangan tersebut telah dibatalkan kerana kos untuk melaksanakannya adalah tinggi iaitu sekitar B$82 juta!!!!

Itu dia, kerana dirasakan ianya 'terlalu' mahal, maka angan-angan untuk membina sebuah balai budaya hanya akan tinggal ristaan meskipun negara telah menghabiskan sejumlah B$88 ribu mengajihi sebuah konsultan untuk membuat kajiselidik tersebut. Sungguh menyedihkan. Tapi yang paling menyedihkan ialah tanggapan Menteri mengenai harga yang mahal dan membebankan negara.

Kepada mereka-mereka yang mengikuti blog ini akan mengetahui bahawa B$82 juta itu bukan satu beban negara. Kerana apa? Kerana negara adalah sebuah negara monetari berdaulat dan mempunyai kemampuan untuk membuat wang B$82 juta tersebut tanpa perlu berpeluh. Tekan sahaja beberapa kekunci di atas papan kekunci komputer, wang B$82 juta dapat dikeluarkan dan diperbelanjakan. 

Kerana sebilangan orang gagal untuk memahami kemampuan kewangan negara maka satu mercu kebanggaan negara akan terkubur buat selamanya. Salah satu yang bakal menjadi tarikan pelancongan terkandas ditengah jalan, gara-gara negara 'kemahalan' untuk membinanya. Sama seperti apa yang telah terjadi ketika ini kepada Taman Permainan Jerudong. Kegemilangannya pada satu ketika dulu kini menjadi sakit mata kepada negara. Bukan itu sahaja kebanyakan perniagaan yang dulu menjadi hangat kini menjadi kenangan mengusik jiwa. Malah ada yang sudah gulung tikar.

Jika dilihat diluar negara, banyak negara berlumba-lumba untuk membina balai budaya. Malah ada yang sanggup membina Kampung Budaya. Lihat saja di sini, sini dan sini. Kerana apa? Kerana ianya akan membawa hasil yang berlipat ganda kepada negara dan juga perkerjaan kepada penduduk negara mereka. Tapi oleh disebabkan Menteri KBS merasa kemahalan, maka negara akan kehilangan pelancong dan penduduk negara kehilangan perkerjaan.

Sejujurnya, selagi negara mempunyai kuasa mutlak untuk membuat wang Brunei, selagi itu negara boleh membina bermacam-macam bangunan. Wang negara tidak akan pandai habis walaupun pada bila-bila masa.

Renung-renungkanlah......

Ahad, 14 April 2013

Kita Hipokrit!

Baru-baru ini ada seseorang telah meluahkan rasa kurang senang beliau mengenai sebilangan masyarakat di negara ini yang sering meminta-minta daripada pihak Kerajaan. Menurut beliau, rakyat dan penduduk negara sepatutnya telah bersyukur dengan segala pemberian Kerajaan pada ketika ini dan adalah tidak wajar untuk rakyat terus-menerus meminta daripada pihak Kerajaan. Pandangan beliau boleh dibaca di sini.

Begitulah betapa begitu taksubnya sebilangan orang mengenai kemampuan negara untuk berbelanja. Pada pandangan mereka, meminta kepada pihak Kerajaan adalah satu perkara yang begitu membebankan . Seolah-olah negara itu boleh sahaja kehabisan wang jika negara terus-menerus melayan kerenah rakyat dan penduduk negara ini.

Tapi tidakkah mereka tahu bahawa berbelanja terus-menerus dari pihak Kerajaan adalah satu kebaikan dan rahmat kepada semua orang? Tahukah mereka bahawa Kerajaan tidak akan pandai kehabisan wang Brunei meskipun sampai hari khiamat?

Kerana apa?!

Kerana dengan adanya Kerajaan terus berbelanja, rakyat dan penduduk negara ini akan dapat mengumpul kekayaan. Wang yang dikeluarkan oleh Kerajaan adalah satu-satunya sumber kewangan tanpa riba. Bayangkan jika Kerajaan tidak mahu berbelanja, macam mana rakyat dan penduduk negara ini beroleh wang Brunei? Bukankah mereka terpaksa meminjam wang daripada pihak bank dan bukankah itu akan membawa beban kepada si peminjam. 

Dan jika pihak Kerajaan tidak berbelanja bagaimana rakyat dan penduduk negara ini mampu membeli barang yang terjual di dalam negara ini? Siapa akan menjadi pelanggan kepada Pehin Goh ataupun Pehin Lau ataupun si Nazmi? Jika orang tidak berbelanja bukankah itu akan melumpuhkan ekonomi negara? Laung-laung menyuruh rakyat ataupun penduduk untuk berkerja di sektor swasta tapi mun jika tidak ada orang mempunyai wang yang mencukupi untuk berbelanja, apakah pihak sektor swasta akan mahu mengajihi orang untuk berkerja?

Sesungguhnya dengan adanya pihak Kerajaan terus-menerus berbelanja maka sebilangan orang mampu menjadi kaya raya. Dengan adanya pihak Kerajaan terus-menerus berbelanja maka kebanyakan orang mampu untuk berlibur dan berbelanja di Miri ataupun Limbang. Ketahuilah untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang sihat dan mampan, negara dan rakyat perlu berbelanja. Tanpa adanya itu, papat kuku ani kalau nasi katok B$1 akan laku!!!.

Tapi apa yang menyedihkan adalah sebaliknya.

Kebanyakan orang mempunyai tanggapan bahawa kewangan negara sama seperti kewangan isi rumah meskipun ianya terang-terang berbeza. Negara boleh membuat wang Brunei. Isi rumah tidak boleh! Itu adalah perbezaan yang terang diantara negara dan rakyat dan penduduk. Selain daripada itu perbelanjaan negara tidak bergantung kepada hasil minyak dan gas negara kerana sejak 15 Ogos 1971, dunia sudah tidak mengamalkan standard emas. Dalam ertikata yang lain, membuat wang tidak lagi berasaskan kepada sesuatu benda! Sekarang wang adalah percuma untuk dibuat.

Meskipun begitu dinyatakan masih juga orang mempunyai paradigma ataupun dogma lama. Mereka menanggap membuat wang akan membawa inflasi. Itu adalah firasat mereka. Tapi sejarah telah membuktikan bahawa pembuatan wang itu tidak membawa inflasi. Contoh terbaik adalah negara Singapura. Mengikut keterangan Monetary Authority Singapore, sehingga bulan Feb 2013, negara tersebut telah membuat wang sejumlah S$498 billion. Ya tuan-tuan dan puan-puan, S$498 billion! Dengan jumlah tersebut adakah negara itu menghadapi inflasi yang hebat????? Tidak kan? Apakah matawang Singapura jatuh apabila negara tersebut membuat S$498 billion??? Tidak kan? Malah sebaliknya pula yang terjadi.

Selain daripada itu juga sebilangan orang berpendapat jika Kerajaan terus-menerus memberikan subsidi, rakyat dan penduduk negara ini akan menjadi pemalas. Tidak mahu berusaha ataupun tidak pandai untuk berdikari. Begitulah firasat mereka. Tapi adakah betul kenyataan tersebut??? Setahu orang negara sudah lama memberikan subsidi dan hasilnya tidak ada orang pun yang malas. Masih juga terdapat rakyat dan penduduk negara ini berjaya dimenara gading ataupun perniagaan. Jadinya kenyataan orang Brunei akan menjadi malas kerana subsidi adalah satu pendustaan!

Tapi apa-apa pun jua, satu perkara yang menjadi kemusykilan ialah tabiat sebilangan orang. Jika membantu ataupun menolong orang-orang yang susah sama ada dengan cara menghulurkan derma ataupun tenaga, tidak ada seorang pun yang berkata-kata. Tidak ada seorang pun yang berkata "Kenapa perlu tolong orang yang miskin, bukankah mereka yang miskin itu disebabkan mereka malas!". Tidak ada seorang pun yang berkata sedemikian. Malah berbagai acara diaturkan untuk membantu mereka. Dari walkaton hingga pesta jual beli.

Tapi apabila ada orang meminta tambahkan subsidi, berbagai tomohan diberikan. Malaslah. Manjalah dan sebagainya. Walhal subsidi itu membawa kebaikan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk negara ini. Malah subsidi itulah yang membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara dan rakyat. Lihat sahaja negara yang tidak mempunyai subsidi, harga makanan melonjak naik, harga kesihatan melambong naik. Apa yang terjadi? Kekacauan yang menimpa. Lihat sahaja revolusi arab. Kerana tidak mampu, rakyat Arab telah bangkit menentang pemerintah mereka. Apakah itu yang rakyat dan penduduk negara ini mahu???...

Wahai rakyat dan penduduk negara ini, kenapa begitu membenci dan menghina apabila ada orang meminta subsidi? Sedangkan permintaan sedemikian membawa kebaikan dan rahmat kepada semua.

Renung-renungkanlah......

Sabtu, 16 Februari 2013

Apa Ada Dengan Perumahan?

Tahukah semua pada ketika ini Tabung Amanah Perkerja (TAP) ada mempunyai skim tabung perumahan? Tabung ini telah dilancarkan pada bulan Julai 2012. Tujuan skim ini diadakan adalah untuk mengalakan ahli-ahli TAP yang tidak mempunyai rumah untuk mendapatkan rumah dengan cara menabung sebahagian daripada gaji mereka.

Dengan cara penyimpanan yang bersistematik dan dibantu dengan kadar jaminan pulangan 3 peratus pada setiap tahun oleh pihak Kerajaan, ianya akan diharap dapat membantu para ahli TAP untuk memiliki rumah. Selain daripada itu beberapa insentif yang lain, juga akan diberikan oleh pihak Kerajaan dalam membantu ahli-ahli TAP meningkatkan pelaburan mereka seperti pemberian wang B$25 ribu. Laporan penuh boleh dirujuk di sini.


Tapi apa kiranya jika negara menyediakan pinjaman kewangan B$150,000 kepada ahli-ahli TAP? Maksudnya di sini, daripada menabung, berikan sahaja pinjaman. Dengan cara ini para ahli TAP mampu memiliki rumah idaman mereka. Para ahli TAP boleh sahaja memiliki rumah mereka dengan lebih awal lagi. Nda lagi perlu menunggu usia kan maghrib baru tah kan mendapat rumah seperti mana yang terjadi pada ketika ini.

Selain daripada itu dengan adanya skim pinjman ini, Kerajaan tidak perlu lagi menyediakan perumahan negara yang banyak. Para ahli TAP boleh sahaja membeli rumah mereka dipasaran terbuka. Jadinya isu rumah damit, teres dan sebagainya tidak akan menjadi sungutan kepada sebilangan rakyat dan penduduk negara ini. Kerajaan tidak perlu lagi menjamin pulangan 3 peratus setiap tahun ataupun menyediakan insentif B$25,000. Mudahkan?!!!

Ataupun, Kerajaan boleh memberikan B$1 juta setiap rakyat dan penduduk sepertimana yang pernah dicoretkan sebelum ini. Sila rujuk sini.

Sesungguhnya Kerajaan tidak perlu khuatir jika kiranya skim-skim yang dianjurkan ini akan membawa beban kewangan kepada negara. Kenapa? Kerana Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara monetari berdaulat. Negara mempunyai kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang diperlukan dengan hanya mengetik jari sahaja! Tak perlu tunggu hasil jualan minyak dan gas.

Renung-renungkanlah..........

Rabu, 13 Februari 2013

Bukan Salah Ibu Mengandung

Baru-baru ini Kerajaan KDYMM telah menandatangani satu perjanjian dengan salah sebuah syarikat perunding tempatan. Perjanjian tersebut adalah mengenai kajian yang bakal dilakukan oleh syarikat tersebut mengenai pelan induk maritim negara. Kos kajian tersebut adalah dianggarkan B$1.2 juta. Berita sepenuhnya boleh dirujuk di sini.

Bagi sesetengah pihak jumlah B$1.2 juta adalah satu jumlah yang besar. Namun begitu, apa yang diperhatikan selama ini hampir kesemua projek-projek negara berada dalam lingkungan jutaan. Jarang benar didengar projek-projek yang bernilai berbillion-billion ringgit. Rasa-rasanya alum pernah terjadi. Nda tahulah kalau ditukar kepada nilai rupiah. Mungkin sahaja mencecah trillion-trillion.

Apa yang ingin dibangkitkan di sini adalah sejauh mana projek-projek 'Mega' ini membawa kemanafaatan kepada rakyat dan penduduk negara terutama sekali dalam isu perkerjaan. Jika dilihat dan diperhatikan, hasil ataupun 'spill-over' daripada projek-projek tersebut adalah terhad. Perhatikan sahaja projek penaikan taraf Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB), hampir keseluruhan perkerjanya adalah warga asing. Perkerja tempatan boleh dikira dengan jari kaki. Begitu juga halnya dengan projek-projek yang terdapat dalam RKN. Hampir 99 peratus perkerjanya adalah warga asing.

Persoalannya kenapa ianya terjadi?

Pada hematnya, punca kegagalan rakyat dan penduduk negara untuk 'mengambil' kesempatan adalah kerana negara terlalu berhemah dalam menyediakan peruntukan. Seperti yang diperkatakan awal-awal tadi, negara hanya main jutaan sahaja. Billion tak ada dalam kamus negara. Berasaskan perkara ini, negara telah gagal memberikan rakyat dan penduduk negara ini peluang untuk memperolehi gaji yang bermakna. Kerana suka main jutaan, negara tidak mampu ataupun mahu untuk memperkenalkan gaji minima.

Andainya negara memahami apa ertinya negara monetari berdaulat, isu yang dibangkitkan di atas tidak akan terjadi. Perhatikan sahaja negara-negara maju - bukankah sebilangan besar mereka adalah terdiri dari perkerja tempatan?!  Buruh kasar pun ada yang terdiri daripada rakyat mereka sendiri. Kerana apa? Kerana gaji buruh kasar mampu memberikan gaji yang bermakna. Dengan menjadi buruh kasar mereka masih mampu untuk membeli rumah, beli kerita dan malah mampu untuk melancong ke luar negara. Nah cuba bayangkan dengan negara?!!! Apakah gaji buruh kasar negara mampu untuk membeli rumah tanpa menunggu skim perumahan negara?!!

Renung-renungkanlah.........

Jumaat, 8 Februari 2013

Dilema Negara

Bulan lepas pihak Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) telah menyatakan mengenai kesukaran pihak swasta untuk mensasarkan kadar pertumbuhan dua angka setiap tahun. Mengikut laporan akhbar, untuk negara mencapai pertumbuhan 6 peratus setiap tahun, pihak swasta perlu memangkin pertubuhan angka dua digit setiap tahun. Laporan penuh boleh dirujuk di sini.

Seperti yang pernah dibibirkan sebelum ini, untuk negara mencapai sasaran 6 peratus pada kadar pertumbuhan ekonomi, negara perlu berbelanja lebih. Kadar peruntukan yang disediakan setiap tahun iaitu B$5~6 billion sudah tidak memadai lagi. Ini boleh dibuktikan dengan kadar pertumbuhan negara setiap tahun sepertimana yang dilaporkan oleh pihak JPKE sendiri.

Selain daripada itu juga, untuk pihak swasta memangkin pertumbuhan 2 digit setiap tahun, mereka memerlukan rakyat dan penduduk negara ini mempunyai kuasa pembelian yang tinggi. Jika itu tidak ada, bererti negara memerlukan orang luar (pelancong) untuk berbelenja di dalam negara. Tapi kan halnya, kebanyakan rakyat dan penduduk negara boleh diketegorikan "Kaya-kaya Bajau". Begitu juga kan halnya pelancong. Meskipun negara berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong untuk datang tapi kebanyakan usaha yang dibuat bagaikan "melepaskan batuk ditangga".

Semua orang perlu sedar memangkin pertumbuhan ekonomi memerlukan semua pihak untuk berbelanja. Tanpa adanya perkara tersebut, papat kuku ini kalau sasaran 6 peratus dapat dicapai. Meskipun ditunggu tahun 2035, kalau negara masih mengamalkan dasar belanjawan konservatif, lebihan belanjawan (budget surplus), pertumbuhan 6 peratus hanya satu mimpi disiang hari. Ingatlah kata-kata Anak Watan..."Growing economy require growing supply of money"

Renung-renungkanlah......

Selasa, 22 Januari 2013

Pelik Tapi Benar

Mengikut laporan akhbar baru-baru ini, bank islam di dalam negara telah berjaya mengkukuhkan kedudukan mereka dalam industri perbankan pada tahun lepas. Semua ini kerana gara-gara adanya peningkatan dalam permintaan. Laporan penuh boleh dibaca di sini.

Pengkukuhan kedudukan kerana peningkatan permintaan!?....Permintaan apa? Pinjaman a.k.a hutang???

Bank ditubuhkan adalah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan dalam hal ehwal perniagaan kewangan. Bank mendapat keuntungan mereka melalui urusniaga pinjaman. Tidak kira sama ada bank konvensional ataupun islam, rata-rata bank mendapat keuntungan melalui sebahagian besarnya pinjaman kewangan. Pinjaman rumah, kerita, peribadi, perusahaan dan sebagainya - semuanya adalah sebahagian besar kepada sumber keuntungan bank.

Cari tia bank yang tidak membuat ataupun mempunyai produk pinjaman!

Rata-rata semua orang tahu bahawa agama tidak mengalakan umatnya untuk berhutang. Nabi (saw) junjungan sendiri berdoa agar umatnya menjauhi dari hutang. Malah perkara ini seringkali dilaung-laungkan dalam khutbah Jumaat seperti ini, ini, ini, ini, ini, ini. Tapi ironinya, bank islam sendiri mempromosikan hutang (produk pinjaman). Berbagai tawaran dan pesta diungkayahkan untuk menarik perhatian masyrakat akan produk-produk bank islam.

Apa-apa pun jua jika diamati dengan situsai sekarang, di mana negara sedang mengamalkan dasar lebihan belanjawan (budget surplus), jangan hairan kemudian hari nanti apabila kadar rakyat dan penduduk yang berhutang akan terus meningkat. Ini kerana lebihan belanjawan menghalang wang negara untuk sampai ketangan rakyat dan penduduk seperti yang pernah dicoretkan sebelum ini.

Renung-renungkanlah...........

Ahad, 20 Januari 2013

Tunggakan?

Cuba baca laporan berita yang terpapar di dalam suratkhabar pada hari ini. Satu pencapaian yang membanggakan?

Tapi apa-apa pun jua, agama memang melarang umatnya untuk mempunyai tunggakan (hutang). Hutang adalah wajib untuk dilunaskan. Namun begitu apabila membaca dengan lebih lanjut lagi laporan tersebut, di sana beberapa persoalan yang timbul dan perlu menjadi perhatian untuk semua pihak. Diantara persoalan yang timbul adalah seperti berikut:

a.  Dari manakah datangnya duit yang akan digunapakai untuk membayar tunggakan tersebut?

b. Apakah setiap rakyat dan penduduk negara mempunyai kuasa untuk membuat duitnya sendiri untuk membayar segala tunggakan mereka?

c.  Jika kuasa pembuatan duit itu hanya dimiliki oleh negara, kenapa negara perlu mengutip semula duit yang dibuatnya?

d.  Jika negara mempunyai kuasa dan mampu untuk membuat duitnya sendiri, kenapa perlu negara mengutip semula duit yang dibuatnya itu untuk membina 4,000 buah rumah atau 50 pusat kesihatan atau 23 buah sekolah menengah atau 100 buah sekolah rendah atau 250 km lebuhraya?

e.  Bolehkah negara kehabisan duit meskipun negara mempunyai kuasa untuk membuat duit?

f.  Jika negara tidak membuat duit, bolehkah rakyat membayar tunggakan mereka?

Renung-renungkanlah..................

Ahad, 13 Januari 2013

Iqra...

Khutbah Jumaat yang lepas telah menarik perhatian penulisan untuk kali ini. Ianya mengenai kepentingan umat islam untuk membaca. Menurut khutbah tersebut melalui dengan pembacaan berbagai ilmu boleh diperolehi. Dari ilmu tersebut berbagai innovasi dan kreativiti yang boleh lahir dan dimajukan. Semua ini adalah untuk membawa kebaikan lebih-lebih lagi kepada seluruh umat islam. Laporan penuh boleh dirujuk di sini.

Ya tuan-tuan dan puan-puan, agama telah menuntut agar semua orang untuk membaca dan terus membaca. Dengan membaca berbagai ilmu dan pengetahuan yang boleh diperolehi. Sekarang dengan adanya internet, gudang ilmu terbuka dengan luasnya. Macam-macam bahan yang boleh diperolehi dan dirujuk dengan hanya mencacak beberapa kekunci di atas papan kekunci komputer.

Namun begitu meskipun dengan adanya kemudahan tersebut masih juga terdapat orang-orang yang daif dalam ilmu, lebih-lebih lagi mengenai ilmu ekonomi. Apa tidaknya? Kerana tidak membaca, masih banyak orang mempunyai pendapat bahawa wang itu bersandarkan kepada emas. Kerana tidak membaca masih banyak orang mempunyai pendapat bahawa wang itu perlu dicetak ataupun dicap. Kerana tidak membaca, masih banyak orang mempunyai pendapat bahawa membuat wang yang banyak-banyak akan membawa inflasi.

Begitulah ironi kehidupan.

Tapi alangkah indah jika semua orang akan terus membaca dan menuntut ilmu. Dengan cara demikian semua orang akan tahu bahawa wang itu sebenarnya adalah percuma ataupun free. Melalui pembacaan yang berterusan semua orang akan mengetahui bahawa negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara monetari berdaulat yang mampu membangun negara tanpa perlu menunggu pelaburan asing. Dengan adanya ilmu didada sudah setentunya sebilangan rakyat dan penduduk tidak akan hidup dalam kemiskinan dan kedaifan. Tapi apa boleh buat, kenyataannya banyak orang yang malas untuk terus membaca.

Renung-renungkanlah..............