Pada persidangan Mesyuarat Majlis Negara (MMN) ke 7 - 2011, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) ada membuat cadangan untuk membina sebuah Balai Budaya. Menurut Menteri KKBS, balai budaya tersebut akan menjadi lambang kegemilangan budaya Brunei. Laporannya boleh dirujuk di sini. Tapi pada persidangan ke 9 MMN baru-baru ini, cadangan tersebut telah dibatalkan kerana kos untuk melaksanakannya adalah tinggi iaitu sekitar B$82 juta!!!!
Itu dia, kerana dirasakan ianya 'terlalu' mahal, maka angan-angan untuk membina sebuah balai budaya hanya akan tinggal ristaan meskipun negara telah menghabiskan sejumlah B$88 ribu mengajihi sebuah konsultan untuk membuat kajiselidik tersebut. Sungguh menyedihkan. Tapi yang paling menyedihkan ialah tanggapan Menteri mengenai harga yang mahal dan membebankan negara.
Kepada mereka-mereka yang mengikuti blog ini akan mengetahui bahawa B$82 juta itu bukan satu beban negara. Kerana apa? Kerana negara adalah sebuah negara monetari berdaulat dan mempunyai kemampuan untuk membuat wang B$82 juta tersebut tanpa perlu berpeluh. Tekan sahaja beberapa kekunci di atas papan kekunci komputer, wang B$82 juta dapat dikeluarkan dan diperbelanjakan.
Kerana sebilangan orang gagal untuk memahami kemampuan kewangan negara maka satu mercu kebanggaan negara akan terkubur buat selamanya. Salah satu yang bakal menjadi tarikan pelancongan terkandas ditengah jalan, gara-gara negara 'kemahalan' untuk membinanya. Sama seperti apa yang telah terjadi ketika ini kepada Taman Permainan Jerudong. Kegemilangannya pada satu ketika dulu kini menjadi sakit mata kepada negara. Bukan itu sahaja kebanyakan perniagaan yang dulu menjadi hangat kini menjadi kenangan mengusik jiwa. Malah ada yang sudah gulung tikar.
Jika dilihat diluar negara, banyak negara berlumba-lumba untuk membina balai budaya. Malah ada yang sanggup membina Kampung Budaya. Lihat saja di sini, sini dan sini. Kerana apa? Kerana ianya akan membawa hasil yang berlipat ganda kepada negara dan juga perkerjaan kepada penduduk negara mereka. Tapi oleh disebabkan Menteri KBS merasa kemahalan, maka negara akan kehilangan pelancong dan penduduk negara kehilangan perkerjaan.
Sejujurnya, selagi negara mempunyai kuasa mutlak untuk membuat wang Brunei, selagi itu negara boleh membina bermacam-macam bangunan. Wang negara tidak akan pandai habis walaupun pada bila-bila masa.
Renung-renungkanlah......