Ahad, 14 April 2013

Kita Hipokrit!

Baru-baru ini ada seseorang telah meluahkan rasa kurang senang beliau mengenai sebilangan masyarakat di negara ini yang sering meminta-minta daripada pihak Kerajaan. Menurut beliau, rakyat dan penduduk negara sepatutnya telah bersyukur dengan segala pemberian Kerajaan pada ketika ini dan adalah tidak wajar untuk rakyat terus-menerus meminta daripada pihak Kerajaan. Pandangan beliau boleh dibaca di sini.

Begitulah betapa begitu taksubnya sebilangan orang mengenai kemampuan negara untuk berbelanja. Pada pandangan mereka, meminta kepada pihak Kerajaan adalah satu perkara yang begitu membebankan . Seolah-olah negara itu boleh sahaja kehabisan wang jika negara terus-menerus melayan kerenah rakyat dan penduduk negara ini.

Tapi tidakkah mereka tahu bahawa berbelanja terus-menerus dari pihak Kerajaan adalah satu kebaikan dan rahmat kepada semua orang? Tahukah mereka bahawa Kerajaan tidak akan pandai kehabisan wang Brunei meskipun sampai hari khiamat?

Kerana apa?!

Kerana dengan adanya Kerajaan terus berbelanja, rakyat dan penduduk negara ini akan dapat mengumpul kekayaan. Wang yang dikeluarkan oleh Kerajaan adalah satu-satunya sumber kewangan tanpa riba. Bayangkan jika Kerajaan tidak mahu berbelanja, macam mana rakyat dan penduduk negara ini beroleh wang Brunei? Bukankah mereka terpaksa meminjam wang daripada pihak bank dan bukankah itu akan membawa beban kepada si peminjam. 

Dan jika pihak Kerajaan tidak berbelanja bagaimana rakyat dan penduduk negara ini mampu membeli barang yang terjual di dalam negara ini? Siapa akan menjadi pelanggan kepada Pehin Goh ataupun Pehin Lau ataupun si Nazmi? Jika orang tidak berbelanja bukankah itu akan melumpuhkan ekonomi negara? Laung-laung menyuruh rakyat ataupun penduduk untuk berkerja di sektor swasta tapi mun jika tidak ada orang mempunyai wang yang mencukupi untuk berbelanja, apakah pihak sektor swasta akan mahu mengajihi orang untuk berkerja?

Sesungguhnya dengan adanya pihak Kerajaan terus-menerus berbelanja maka sebilangan orang mampu menjadi kaya raya. Dengan adanya pihak Kerajaan terus-menerus berbelanja maka kebanyakan orang mampu untuk berlibur dan berbelanja di Miri ataupun Limbang. Ketahuilah untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang sihat dan mampan, negara dan rakyat perlu berbelanja. Tanpa adanya itu, papat kuku ani kalau nasi katok B$1 akan laku!!!.

Tapi apa yang menyedihkan adalah sebaliknya.

Kebanyakan orang mempunyai tanggapan bahawa kewangan negara sama seperti kewangan isi rumah meskipun ianya terang-terang berbeza. Negara boleh membuat wang Brunei. Isi rumah tidak boleh! Itu adalah perbezaan yang terang diantara negara dan rakyat dan penduduk. Selain daripada itu perbelanjaan negara tidak bergantung kepada hasil minyak dan gas negara kerana sejak 15 Ogos 1971, dunia sudah tidak mengamalkan standard emas. Dalam ertikata yang lain, membuat wang tidak lagi berasaskan kepada sesuatu benda! Sekarang wang adalah percuma untuk dibuat.

Meskipun begitu dinyatakan masih juga orang mempunyai paradigma ataupun dogma lama. Mereka menanggap membuat wang akan membawa inflasi. Itu adalah firasat mereka. Tapi sejarah telah membuktikan bahawa pembuatan wang itu tidak membawa inflasi. Contoh terbaik adalah negara Singapura. Mengikut keterangan Monetary Authority Singapore, sehingga bulan Feb 2013, negara tersebut telah membuat wang sejumlah S$498 billion. Ya tuan-tuan dan puan-puan, S$498 billion! Dengan jumlah tersebut adakah negara itu menghadapi inflasi yang hebat????? Tidak kan? Apakah matawang Singapura jatuh apabila negara tersebut membuat S$498 billion??? Tidak kan? Malah sebaliknya pula yang terjadi.

Selain daripada itu juga sebilangan orang berpendapat jika Kerajaan terus-menerus memberikan subsidi, rakyat dan penduduk negara ini akan menjadi pemalas. Tidak mahu berusaha ataupun tidak pandai untuk berdikari. Begitulah firasat mereka. Tapi adakah betul kenyataan tersebut??? Setahu orang negara sudah lama memberikan subsidi dan hasilnya tidak ada orang pun yang malas. Masih juga terdapat rakyat dan penduduk negara ini berjaya dimenara gading ataupun perniagaan. Jadinya kenyataan orang Brunei akan menjadi malas kerana subsidi adalah satu pendustaan!

Tapi apa-apa pun jua, satu perkara yang menjadi kemusykilan ialah tabiat sebilangan orang. Jika membantu ataupun menolong orang-orang yang susah sama ada dengan cara menghulurkan derma ataupun tenaga, tidak ada seorang pun yang berkata-kata. Tidak ada seorang pun yang berkata "Kenapa perlu tolong orang yang miskin, bukankah mereka yang miskin itu disebabkan mereka malas!". Tidak ada seorang pun yang berkata sedemikian. Malah berbagai acara diaturkan untuk membantu mereka. Dari walkaton hingga pesta jual beli.

Tapi apabila ada orang meminta tambahkan subsidi, berbagai tomohan diberikan. Malaslah. Manjalah dan sebagainya. Walhal subsidi itu membawa kebaikan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk negara ini. Malah subsidi itulah yang membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara dan rakyat. Lihat sahaja negara yang tidak mempunyai subsidi, harga makanan melonjak naik, harga kesihatan melambong naik. Apa yang terjadi? Kekacauan yang menimpa. Lihat sahaja revolusi arab. Kerana tidak mampu, rakyat Arab telah bangkit menentang pemerintah mereka. Apakah itu yang rakyat dan penduduk negara ini mahu???...

Wahai rakyat dan penduduk negara ini, kenapa begitu membenci dan menghina apabila ada orang meminta subsidi? Sedangkan permintaan sedemikian membawa kebaikan dan rahmat kepada semua.

Renung-renungkanlah......