Khutbah Jumaat yang lepas telah menarik perhatian penulisan untuk kali ini. Ianya mengenai kepentingan umat islam untuk membaca. Menurut khutbah tersebut melalui dengan pembacaan berbagai ilmu boleh diperolehi. Dari ilmu tersebut berbagai innovasi dan kreativiti yang boleh lahir dan dimajukan. Semua ini adalah untuk membawa kebaikan lebih-lebih lagi kepada seluruh umat islam. Laporan penuh boleh dirujuk di sini.
Ya tuan-tuan dan puan-puan, agama telah menuntut agar semua orang untuk membaca dan terus membaca. Dengan membaca berbagai ilmu dan pengetahuan yang boleh diperolehi. Sekarang dengan adanya internet, gudang ilmu terbuka dengan luasnya. Macam-macam bahan yang boleh diperolehi dan dirujuk dengan hanya mencacak beberapa kekunci di atas papan kekunci komputer.
Namun begitu meskipun dengan adanya kemudahan tersebut masih juga terdapat orang-orang yang daif dalam ilmu, lebih-lebih lagi mengenai ilmu ekonomi. Apa tidaknya? Kerana tidak membaca, masih banyak orang mempunyai pendapat bahawa wang itu bersandarkan kepada emas. Kerana tidak membaca masih banyak orang mempunyai pendapat bahawa wang itu perlu dicetak ataupun dicap. Kerana tidak membaca, masih banyak orang mempunyai pendapat bahawa membuat wang yang banyak-banyak akan membawa inflasi.
Begitulah ironi kehidupan.
Tapi alangkah indah jika semua orang akan terus membaca dan menuntut ilmu. Dengan cara demikian semua orang akan tahu bahawa wang itu sebenarnya adalah percuma ataupun free. Melalui pembacaan yang berterusan semua orang akan mengetahui bahawa negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara monetari berdaulat yang mampu membangun negara tanpa perlu menunggu pelaburan asing. Dengan adanya ilmu didada sudah setentunya sebilangan rakyat dan penduduk tidak akan hidup dalam kemiskinan dan kedaifan. Tapi apa boleh buat, kenyataannya banyak orang yang malas untuk terus membaca.
Renung-renungkanlah..............