Ahad, 14 Oktober 2012

Wang Dan Inflasi - Adakah Ianya Kurafat Atau Yang Benar?

Sudah sekian lama blog ini mencoretkan berbagai rencana mengenai perjalanan ekonomi negara. Selain daripada itu berbagai fakta dan data telah diberikan dalam mengkukuhkan perhujaan yang dibuat lebih-lebih lagi dalam isu pembuatan wang atupun duit. Namun begitu apa yang telah didapati masih juga terdapat sebilangan orang yang mempunyai tangapan bahawa pembuatan wang seperti mana yang ditulis dalam blog ini boleh sahaja menyebabkan inflasi kepada negara. Yang hebatnya tangapan sedemikian tidak bersandarkan dengan apa-apa fakta ataupun data tapi cuma bersandarkan dengan firasat ataupun naluri.

Sejujurnya tanggapan mengenai pembuatan wang boleh membawa inflasi itu adalah salah. Bukan cara sedemikian inflasi itu boleh terjadi. Tak perlu melangkah jauh, lihat sahaja persekitaran negara pada ketika ini, tanpa pengeluaran wang yang banyak pun oleh pihak Kerajaan, inflasi masih boleh sahaja terjadi. Sana-sini orang merunggut mengenai kenaikan harga yang berlaku hampir setiap masa.

Melalui prespektif ekonomi, Kurafat mengenai "pertumbuhan wang ==> inflasi" ini berdasarkan kepada formula persamaan pertukaran (equation of exchange), iaitu:

MV = Py  yang mana,

M - adalah bekalan wang,
V - halaju wang (atau bilangan purata setiap kali wang dibelanjakan dan digunakan),
P - purata harga barangan dan perkhidmatan, dan
y - kuantiti jumlah semua barangan dan perkhidmatan yang dijual pada tempoh masa yang dimaksudkan.

Sebagai contoh, jika terdapat 100 barangan dan perkhidmatan yang dijual dengan harga B$10 setiap satu (secara purata), ini bermakna sejumlah B$1000 - nilai transaksi telah berlaku. Oleh itu, jika terdapat 200 keping wang satu  ringgit dalam ekonomi tersebut, bererti setiap keping wang kertas tersebut telah digunakan sebanyak 5 kali ("halaju" wang, atau berapa cepat ianya telah dibelanjakan setiap kali).

MV = Py

200 x 5 = 10 x 100

Adalah penting untuk difahami di sini bahawa apa yang telah dipaparkan di atas tidak sedikitpun menjadi kontroversi. Setiap pakar ekonomi bersetuju dengan formula asas MV = Py tersebut. Percangahan hanya timbul apabila beberapa andaian tambahan (additional assumptions) dibuat mengenai sifat setiap komponen yang ada dalam formula tersebut. Sebagai contoh, kalau dilihat melalui perspektif "pertumbuhan wang ==> inflasi" (seperti mana sangkaan kebanyakan orang) - andaian telah dibuat kepada setiap komponen yang terdapat dalam formula itu seperti berikut:

M - Wang mudah ditakrifkan dan dikenalpasti dan hanya bank pusat sahja yang boleh mengawal bekalan, di mana ianya boleh dilakukan dengan secara autonomi dan ketepatan.

V - halaju wang itu berkaitan dengan tabiat manusia dan struktur sistem kewangan. Oleh itu, ia agak berterusan (relatively constant).

P - suasana ekonomi yang begitu kompetitif sehingga tidak ada firma mahupun pekerja mempunyai kebebasan untuk menukar apa yang mereka boleh mengenakan bayaran untuk barangan dan perkhidmatan mereka tanpa adanya perubahan kepada kuasa asas yang memandu bekalan dan permintaan dalam pasaran mereka.

y - Ekonomi dengan secara automatiknya cenderung kepada full employment dan dengan itu y (jumlah barangan dan perkhidmatan yang sedia ada) adalah besar pada bila-bila masa sahaja yang diberikan (meskipun ianya hanya akan tumbuh dari masa ke masa).

Sekarang mari lihat sekali lagi contoh matematik tadi:

MV = Py

200 x 5 = 10 x 100

Pertimbangkan akan segala andaian yang telah dibuat mengenai setiap komponen yang ada dalam formula tersebut. P tidak boleh menukar dengan sendirinya, y sudah pun sebesar mana ia mungkin berpandukan kepada teknologi  dan sumber semasa, dan V adalah malar (constant). Hanya M sahaja yang boleh berubah dalam jangka yang pendek dan secara logiknya ianya boleh dianggap sebagai titik permulaan bagi sebarang turun naik (fluctuation) yang bakal diperkenalkan. Tambahan pula, mengikut andaian awal, hanya bank pusat atau dalam kes negara kita, AMBD sahaja mempunyai kuasa untuk (sebagai contoh) menggandakan bekalan wang dengan sesuka hati.

Sekarang apa yang berlaku jika M digandakan dari 200 kepada 400?

MV = Py

400 x 5> 10 x 100

Jelas di sini terdapat masalah di mana formula matematik itu tidak lagi seimbang. Jadinya untuk menyelesaikan permasalahan sedemikian salah satu daripada tiga komponen di dalam formula tersebut  perlu berubah (diandaikan M tidak dikembalikan semula ke 200):

1. y boleh meningkat kepada 200, tetapi tidak dapat kerana ia sudah berada ditahap maksimum seperti andaian yang dibuat diatas;

2. V boleh jatuh kepada 2.5, tetapi ia adalah malar (constant) seperti andaian yang dibuat di atas;

3. Jadinya secara lojiknya hanya P sahaja yang boleh meningkat kepada 20 untuk mengimbangi kembali formula tersebut.

MV = Py

400 x 5 = 20 x 100

Kesaksamaan lagi!

Dalam erti kata yang lain tanggapan "pertumbuhan wang ==> inflasi" itu adalah betul - harga mesti naik!!! Mari semak semula kenapa P secara lojiknya menjadi begitu.

V dan y telah diandaikan sebagai malar (constant). Menururt Milton Friedman dalam bukunya The Optimum Quantity of Money, y adalah malar pada tahap yang dikaitkan dengan kadar pengangguran semula jadi (natural rate of unemployment), manakala V secara tidak langsung berkaitan dengan permintaan agen untuk wang tunai. Apabila ada orang mahu untuk memegang lebih banyak wang, V, kadar di mana mereka menghabiskan wang tunai tersebut, secara semula jadinya akan jatuh, dan begitu juga sebaliknya. Akan tetapi, menurut Friedman, beliau menyatakan bahawa V adalah malar jestru itu begitu juga permintaan untuk wang tunai.

Oleh yang demikian, apabila AMBD menaikkan bekalan wang tunai dari 200 kepada 400, ini bermakna bahawa orang ramai akan memegang lebihan wang tunai daripada apa yang mereka inginkan dalam portfolio mereka. Di sini, pihak Kerajaan telah mewujudkan satu keadaan di mana bekalan wang (baru dibuat)  telah melebihi dari permintaan (masih pada tahap asal).

Jestru itu bagi mereka yang mempunyai tanggapan "pertumbuhan wang ==> inflasi", kelakuan Kerajaan itu (menambah wang) akan membuatkan orang membuang lebihan wang tunai tersebut dengan cara membelanjakannya. Mereka berharap untuk membeli lebih banyak lagi barangan dan perkhidmatan akan tetapi secara agregatnya, ianya tidak wujud - mereka hanya membida harga mereka sendiri: pertumbuhan wang membawa kepada inflasi.

Itulah pandangan standard mengenai "pertumbuhan wang ==> inflasi". Ianya boleh dijadikan sebagai satu ceramah yang menarik dalam kuliah kelas makro. Tetapi masalahnya ialah selepas ceramah tersebut, orang hanya akan ingat bahawa:

meningkatkan M ==> peningkatan P

Apa kebanyakan orang lupa ialah segala andaian yang telah dibuat dalam formula matematik tersebut dan terutama sekali dalam mencapai jawapan meningkatkan M ==> peningkatan P tersebut!!!!!

Ambil y sebagai contoh. Seseorang boleh melihat dengan suasana disekelilingnya di mana pengangguran masih terdapat di sana sini. (Nota: Secara official kadar pengangguran dalam negara adalah 3.7 peratus). Oleh itu, memandangkan senario tersebut:

MV = Py

400 x 5> 10 x 100

Tidak ada sebab mengapa peningkatan M tidak boleh membawa peningkatan kepada y. Jika diperhatikan peningkatan dalam perbelanjaan boleh menyebabkan usahawan berusaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka untuk memenuhi permintaan baru. Sebagai contoh boleh dirujuk seperti di sini. Jadinya:

MV = Py

400 x 5 = 10 x 200

Disamping itu, tidak semestinya V (halaju wang) itu MESTI malar (constant). Dalam suasana ekonomi yang lembab, orang ramai akan lebih cenderung untuk memegang (meyimpan) wang tunai mereka dari terus-menerus berbelanja seperti yang dilaporakan di sini. Oleh itu, jika diandaikan bahawa AMBD melaksanakan dasar sedemikian (membuat lebih banyak wang) dalam suasan yang dimaksudkan, formula matematik boleh sahaja menjadi:

MV = Py

400 x 2.5 = 10 x 100

Ataupun ia boleh menjadi beberapa gabungan seperti peningkatan dalam y dan kejatuhan dalam V. Perhatikan bagaimana proses pembuatan andaian awal kepada pendekatan ini di mana ianya lebih realistik daripada andaian peningkatan dalam M membawa kepada peningkatan dalam P, terutama sekali dalam suasana kelembaban ekonomi.

Sebenarnya terdapat masalah dengan tangapan "pertumbuhan wang ==> inflasi" ini. Mari ingati semula andaian asal bagi M:

M - Adalah wang mudah ditakrifkan dan dikenalpasti dan hanya bank pusat boleh mengawal bekalan M di mana ianya boleh dilakukan dengan secara autonomi dan ketepatan. Tapi apakah "wang" dalam sistem kewangan modern yang berasaskan kredit? Adakah ianya kertas atau polymer yang dibawa dalam poket atau catatan elektronik 1 dan 0 dalam bank akuan ataupun baki yang tertinggal dalam kad kredit atau ianya akaun semasa dan simpanan?

Selain daripada itu pihak sektor kewangan boleh membuat dan memusnahkan wang tanpa perlu adanya campur tangan secara langsung dari pihak bank pusat. Setiap kali pinjaman dibuat, setiap kali itu juga jumlah wang akan meningkat dan apabila pinjaman dibayar balik ataupun adanya default, maka jumlah bekalan wang akan mengecut. Sama seperti pihak Kerajaan, pihak bank juga membuat wang dari thin air. Sesungguhnya pihak sektor persendirian mempunyai kuasa yang lebih dalam pengawalan M jika dibandingkan dengan pihak Kerajaan.

Begitu juga halnya dengan komponen-komponen lain seperti V dan y dimana ianya boleh sahaja berubah mengikut kehendak semasa. Jadinya, tangapan "pertumbuhan wang ==> inflasi" tidak semestinya menjadi kurafat kepada sebilangan orang. Sesungguhnya berbagai faktor lain yang boleh menyebabkan inflasi dan pembuatan wang bukanlah punca sebenarnya.

Renung-renungkanlah..............