Sekali sekala rakyat dan penduduk negara ini akan mendengar ucapan ataupun kata-kata pujanga mengenai keperluan rakyat dan penduduk di negara ini untuk lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada Kerajaan. Kadangkala kata-kata pencetus semangat akan diselitkan seperti kata-kata yang pernah diluahkan oleh mendiang President John F Kennedy - "Asked not what the country can do for you but asked what you can do for the country". Begitu juga apabila sebilangan masyarakat berkata "berbaktilah kepada tanah" dan sebagainya.
Memang tidak syak lagi perkara tersebut adalah benar. Rakyat dan penduduk negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan. Rakyat dan penduduk perlu lebih bijak dalam mengatur tatacara kehidupan mereka. Rakyat dan penduduk mempunyai harga diri. Terlalu bergantung kepada sesuatu membuatkan seseorang itu hilang maruah dan keyakinan diri sendiri. Tapi persoalannya, apakah tujuan berkerajaan jika rakyat dan penduduk tidak boleh bergantung kepada kerajaan itu sendiri?
Pada pandangan, Kerajaan adalah sebuah eniti yang dibina oleh rakyat dan penduduk negara itu sendiri dengan tujuan untuk membela nasib rakyat dan penduduk. Selain daripada itu Kerajaan membolehkan sesuatu tugas atau perkara dilakukan secara kolektif dan bukan secara pensendirian. Sebagai contoh dengan adanya Kerajaan, sistem pendidikan dapat kelolakan dan tenaga pengajar dapat diambil dan diupah untuk mengajar anak bangsa itu sendiri. Begitu juga halnya dalam isu keselamatan. Bayangkan jika negara itu tidak mempunyai pasokan polisnya sendiri? Apakah rakyat dan penduduk negara itu boleh hidup aman damai?
Tapi apa yang lebih penting ialah kemampuan Kerajaan untuk membina suasana persekitaran ekonomi yang kondusif. Maksudnya dengan adanya campurtangan pihak Kerajaan dalam ekonomi segala kemudahan dan keistemewaan dapat semua orang kecapi dan nikmati. Sebagai contoh sahaja wang yang diterbitkan oleh Kerajaan. Dengan adanya wang tersebut, kesemua rakyat dan penduduk dapat berurusan sesama sendiri dengan lebih mudah. Tidak perlu membawa beberapa ekor kerbau ke bilik pameran kerita GHK untuk ditukar dengan sebuah kerita Lancer EX. Nda paning pehin Goh!
Apa yang ingin dibangkitkan disini adalah hubungan wang Kerajaan dengan rakyat dan penduduk negara itu sendiri. Realitinya pada ketika dan saat ini, wang adalah suatu benda kepunyaan negara. Ianya bukan milik sesiapa. Ini dapat dibuktikan dengan melihat wang itu sendiri. Ianya unik bagi setiap sebuah negara. Mana ada ringgit Brunei di negara asing kan? Mana ada Kerajaan di dalam dunia ini yang membuat wang Brunei! Setiap negara mempunyai wang mereka tersendiri, jestru itulah ianya milik negara.
Dengan adanya wang negara, rakyat dan penduduk itu dapat berurusan dengan sesama mereka. Tidak ada kekeliruan akan timbul apabila wang negara diguna pakai. Tak percaya cuba beli nasi katok dengan menggunakan matawang rupiah! Oleh sebab Kerajaan itu dibina oleh rakyat dan penduduk negara itu sendiri maka wang yang dikeluarkan atau diterbikan adalah menjadi keyakinan kepada semua pihak. Bayangkan setiap rakyat dan penduduk negara itu dibenarkan untuk membuat wang mereka sendiri? Wang siapa yang harus dipercayai dan digunapakai? Mahu pehin Goh memakai ataupun menerima pakai wang pehin Hapidz?
Nah sekarang tanya pada diri sendiri, apakah rakyat dan negara tidak boleh bergantung kepada Kerajaan? Apa yang jelas rakyat dan penduduk negara perlu bergantung kepada Kerajaan dan Kerajaan perlu bergantung kepada rakyat dan penduduk negaranya sendiri. Tanpa ada kaitan itu maka tidak akan lahirlah sebuah negara, bangsa dan Kerajaan. Contoh sahaja seperti negeri-negeri di dalam persekutuan Malaysia - mana ada orang bercakap mengenai rakyat Sarawak, negerinya ataupun Kerajaannya. Orang hanya bercakap mengenai rakyat Malaysia, negara Malaysia dan kerajaan Malaysia. Dan paling hebat lagi mana ada orang pernah nampak matawang Sarawak. Yang ada cuma matawang ringgit Malaysia!
Apabila terbaca satu laporan diluar negara mengenai sebuah negara mensasarkan tiada penggunaan wang kerta lagi di dalam urusan seharian, ianya telah membuktikan, apa yang telah dicoretkan di dalam blog selama ini adalah tepat. Wang itu cuma notasi dan nombor. Dan pada ketika ini ianya adalah "1" dan "0" dalam alam maya komputer. Jestru itu, jika wang itu bukan lagi kertas ataupun polymer dan boleh dibuat di dalam alam maya, kenapa mereka-mereka yang diberikan kepercayaan dan tanggungjawab, begitu taksub dengan wang negara? Kenapa negara perlu menunggu FDI dalam membangun negara? Kenapa negara membiarkan sebilangan rakyat dan penduduk daif? Kenapa negara membiarkan sebilangan rakyat dan penduduk menganggur?
Pada kesimpulannya kefahaman mengenai "apa yang perlu rakyat dan penduduk buat untuk negara" sepatutnya berbunyi..."Apakah negara sudah melakukan yang terbaik dan semampunya dalam memakmurkan rakyat dan penduduknya sendiri?!"
Renung-renungkanlah...........