Sabtu, 20 April 2013

Subsidi - Satu Beban Negara?

Hari ini ada terpapar di dalam suratkhabar tempatan mengenai pemberian subsidi minyak oleh pihak Kerajaan. Menurut laporan bank pembangunan asia (ADB), pemberian subsidi minyak yang terdapat di dalam negara adalah merupakan satu beban kepada kewangan Kerajaan. Menurut laporan ABD itu lagi, negara telah memperbelanjakan lebih daripada B$500 juta pada tahun 2011 dan ianya merupakan lebih daripada 3 peratus KDNK negara. Laporan penuh boleh dibaca di sini.

Itu dia Tuan-tuan dan puan-puan. Satu pendekatan yang 'cetek' terhadap hal ehwal kewangan negara. Yang lebih sedihnya lagi ialah apabila laporan tersebut bulat-bulat 'ditelan' oleh pihak media dan sebilangan penduduk negara ini. Apa tidaknya, tajuk laporan itu sendiri mengatakan perbelanjaan B$500 juta ke atas subsidi membawa kesan negatif kepada kewangan negara.

Tidakkah mereka semua tahu ataupun sedar bahawa negara adalah sebuah negara monetari berdaulat. Dengan kuasa mutlak yang ada, negara mampu menyediakan B$500 juta ataupun lebih tanpa perlu bersusah payah. Negara tidak perlu menunggu hasil daripada penjualan minyak dan gas negara untuk menyediakan B$500 juta. Negara bukan satu entiti yang sama seperti isi rumah. Kewangan negara tidak sama sekali sama seperti kewangan isi rumah. Negara tidak akan pandai kehabisan wang Brunei walaupun sampai hari khiamat.

Kerana apa?

Kerana wang di dalam dunia ini adalah berasaskan kepada kewangan FIAT. Wang yang tidak yang bersandarkan kepada sesuatu benda. Itu adalah kenyataan dan fakta. Sejak 15 Ogos 1971 lagi, wang yang  terdapat di dalam dunia ini sudah tidak lagi berasaskan kepada apa-apa. Rujuk di sini untuk penjelasannya. Sejak dari tarikh keramat itu, semua negara di dalam dunia boleh sahaja membuat wang mereka dari "thin air". Dan dengan kemajuan informasi dan komputer sekarang ini, wang boleh sahaja dibuat dengan menekan beberapa kekunci di atas papan kekunci komputer. Nak B$500 juta, tekan saja - shift "B", shift "$", angka 5 dan diikuti dengan 8 angka 0. Itu saja. Tidak sampai 10 detik.

Jestru itu berasaskan kepada fakta tersebut, tanyakanlah kepada diri sendiri - apakah negara boleh kehabisan wang Brunei lantas ianya menjadi satu beban kepada negara kerana gara-gara menyediakan subsidi yang secukupnya untuk rakyat dan penduduk di negara ini??? Tentu tidak, bukan?!!!!

Apa-apa pun jua, pihak ADB adalah sebuah organisasi yang betul-betul hipokrit.  Dalam laporan itu sendiri mereka telah mengatakan mengenai impak pengurangan subsidi kepada setiap rakyat dan penduduk. Menurut mereka kenaikan harga minyak US$0.25 seliter sahaja boleh membawa penurunan kepada pendapatan sebenar isi rumah sehingga 4.5 peratus! Kesan tersebut adalah disebabkan pihak isi rumah terpaksa berbelanja lebih untuk minyak, dan juga impak kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Lucukan. Pihak ADB lebih rela untuk rakyat dan penduduk menderita daripada melihat Kerajaan terus menerus berbelanja. Bayangkan sahaja jika negara mentiadakan B$500 juta tersebut, bukankah itu bermakna bahawa rakyat dan penduduk negara ini akan kehilangan B$500 juta. Dari mana rakyat dan penduduk negara ini akan mencari B$500 juta sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membuat wang mereka sendiri.

Renung-renungkanlah.........

Rabu, 17 April 2013

Sejak Bila Negara Tidak Mampu?

Pada persidangan Mesyuarat Majlis Negara (MMN) ke 7 - 2011, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) ada membuat cadangan untuk membina sebuah Balai Budaya. Menurut Menteri KKBS, balai budaya tersebut akan menjadi lambang kegemilangan budaya Brunei. Laporannya boleh dirujuk di sini. Tapi pada persidangan ke 9 MMN baru-baru ini, cadangan tersebut telah dibatalkan kerana kos untuk melaksanakannya adalah tinggi iaitu sekitar B$82 juta!!!!

Itu dia, kerana dirasakan ianya 'terlalu' mahal, maka angan-angan untuk membina sebuah balai budaya hanya akan tinggal ristaan meskipun negara telah menghabiskan sejumlah B$88 ribu mengajihi sebuah konsultan untuk membuat kajiselidik tersebut. Sungguh menyedihkan. Tapi yang paling menyedihkan ialah tanggapan Menteri mengenai harga yang mahal dan membebankan negara.

Kepada mereka-mereka yang mengikuti blog ini akan mengetahui bahawa B$82 juta itu bukan satu beban negara. Kerana apa? Kerana negara adalah sebuah negara monetari berdaulat dan mempunyai kemampuan untuk membuat wang B$82 juta tersebut tanpa perlu berpeluh. Tekan sahaja beberapa kekunci di atas papan kekunci komputer, wang B$82 juta dapat dikeluarkan dan diperbelanjakan. 

Kerana sebilangan orang gagal untuk memahami kemampuan kewangan negara maka satu mercu kebanggaan negara akan terkubur buat selamanya. Salah satu yang bakal menjadi tarikan pelancongan terkandas ditengah jalan, gara-gara negara 'kemahalan' untuk membinanya. Sama seperti apa yang telah terjadi ketika ini kepada Taman Permainan Jerudong. Kegemilangannya pada satu ketika dulu kini menjadi sakit mata kepada negara. Bukan itu sahaja kebanyakan perniagaan yang dulu menjadi hangat kini menjadi kenangan mengusik jiwa. Malah ada yang sudah gulung tikar.

Jika dilihat diluar negara, banyak negara berlumba-lumba untuk membina balai budaya. Malah ada yang sanggup membina Kampung Budaya. Lihat saja di sini, sini dan sini. Kerana apa? Kerana ianya akan membawa hasil yang berlipat ganda kepada negara dan juga perkerjaan kepada penduduk negara mereka. Tapi oleh disebabkan Menteri KBS merasa kemahalan, maka negara akan kehilangan pelancong dan penduduk negara kehilangan perkerjaan.

Sejujurnya, selagi negara mempunyai kuasa mutlak untuk membuat wang Brunei, selagi itu negara boleh membina bermacam-macam bangunan. Wang negara tidak akan pandai habis walaupun pada bila-bila masa.

Renung-renungkanlah......

Ahad, 14 April 2013

Kita Hipokrit!

Baru-baru ini ada seseorang telah meluahkan rasa kurang senang beliau mengenai sebilangan masyarakat di negara ini yang sering meminta-minta daripada pihak Kerajaan. Menurut beliau, rakyat dan penduduk negara sepatutnya telah bersyukur dengan segala pemberian Kerajaan pada ketika ini dan adalah tidak wajar untuk rakyat terus-menerus meminta daripada pihak Kerajaan. Pandangan beliau boleh dibaca di sini.

Begitulah betapa begitu taksubnya sebilangan orang mengenai kemampuan negara untuk berbelanja. Pada pandangan mereka, meminta kepada pihak Kerajaan adalah satu perkara yang begitu membebankan . Seolah-olah negara itu boleh sahaja kehabisan wang jika negara terus-menerus melayan kerenah rakyat dan penduduk negara ini.

Tapi tidakkah mereka tahu bahawa berbelanja terus-menerus dari pihak Kerajaan adalah satu kebaikan dan rahmat kepada semua orang? Tahukah mereka bahawa Kerajaan tidak akan pandai kehabisan wang Brunei meskipun sampai hari khiamat?

Kerana apa?!

Kerana dengan adanya Kerajaan terus berbelanja, rakyat dan penduduk negara ini akan dapat mengumpul kekayaan. Wang yang dikeluarkan oleh Kerajaan adalah satu-satunya sumber kewangan tanpa riba. Bayangkan jika Kerajaan tidak mahu berbelanja, macam mana rakyat dan penduduk negara ini beroleh wang Brunei? Bukankah mereka terpaksa meminjam wang daripada pihak bank dan bukankah itu akan membawa beban kepada si peminjam. 

Dan jika pihak Kerajaan tidak berbelanja bagaimana rakyat dan penduduk negara ini mampu membeli barang yang terjual di dalam negara ini? Siapa akan menjadi pelanggan kepada Pehin Goh ataupun Pehin Lau ataupun si Nazmi? Jika orang tidak berbelanja bukankah itu akan melumpuhkan ekonomi negara? Laung-laung menyuruh rakyat ataupun penduduk untuk berkerja di sektor swasta tapi mun jika tidak ada orang mempunyai wang yang mencukupi untuk berbelanja, apakah pihak sektor swasta akan mahu mengajihi orang untuk berkerja?

Sesungguhnya dengan adanya pihak Kerajaan terus-menerus berbelanja maka sebilangan orang mampu menjadi kaya raya. Dengan adanya pihak Kerajaan terus-menerus berbelanja maka kebanyakan orang mampu untuk berlibur dan berbelanja di Miri ataupun Limbang. Ketahuilah untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang sihat dan mampan, negara dan rakyat perlu berbelanja. Tanpa adanya itu, papat kuku ani kalau nasi katok B$1 akan laku!!!.

Tapi apa yang menyedihkan adalah sebaliknya.

Kebanyakan orang mempunyai tanggapan bahawa kewangan negara sama seperti kewangan isi rumah meskipun ianya terang-terang berbeza. Negara boleh membuat wang Brunei. Isi rumah tidak boleh! Itu adalah perbezaan yang terang diantara negara dan rakyat dan penduduk. Selain daripada itu perbelanjaan negara tidak bergantung kepada hasil minyak dan gas negara kerana sejak 15 Ogos 1971, dunia sudah tidak mengamalkan standard emas. Dalam ertikata yang lain, membuat wang tidak lagi berasaskan kepada sesuatu benda! Sekarang wang adalah percuma untuk dibuat.

Meskipun begitu dinyatakan masih juga orang mempunyai paradigma ataupun dogma lama. Mereka menanggap membuat wang akan membawa inflasi. Itu adalah firasat mereka. Tapi sejarah telah membuktikan bahawa pembuatan wang itu tidak membawa inflasi. Contoh terbaik adalah negara Singapura. Mengikut keterangan Monetary Authority Singapore, sehingga bulan Feb 2013, negara tersebut telah membuat wang sejumlah S$498 billion. Ya tuan-tuan dan puan-puan, S$498 billion! Dengan jumlah tersebut adakah negara itu menghadapi inflasi yang hebat????? Tidak kan? Apakah matawang Singapura jatuh apabila negara tersebut membuat S$498 billion??? Tidak kan? Malah sebaliknya pula yang terjadi.

Selain daripada itu juga sebilangan orang berpendapat jika Kerajaan terus-menerus memberikan subsidi, rakyat dan penduduk negara ini akan menjadi pemalas. Tidak mahu berusaha ataupun tidak pandai untuk berdikari. Begitulah firasat mereka. Tapi adakah betul kenyataan tersebut??? Setahu orang negara sudah lama memberikan subsidi dan hasilnya tidak ada orang pun yang malas. Masih juga terdapat rakyat dan penduduk negara ini berjaya dimenara gading ataupun perniagaan. Jadinya kenyataan orang Brunei akan menjadi malas kerana subsidi adalah satu pendustaan!

Tapi apa-apa pun jua, satu perkara yang menjadi kemusykilan ialah tabiat sebilangan orang. Jika membantu ataupun menolong orang-orang yang susah sama ada dengan cara menghulurkan derma ataupun tenaga, tidak ada seorang pun yang berkata-kata. Tidak ada seorang pun yang berkata "Kenapa perlu tolong orang yang miskin, bukankah mereka yang miskin itu disebabkan mereka malas!". Tidak ada seorang pun yang berkata sedemikian. Malah berbagai acara diaturkan untuk membantu mereka. Dari walkaton hingga pesta jual beli.

Tapi apabila ada orang meminta tambahkan subsidi, berbagai tomohan diberikan. Malaslah. Manjalah dan sebagainya. Walhal subsidi itu membawa kebaikan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk negara ini. Malah subsidi itulah yang membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara dan rakyat. Lihat sahaja negara yang tidak mempunyai subsidi, harga makanan melonjak naik, harga kesihatan melambong naik. Apa yang terjadi? Kekacauan yang menimpa. Lihat sahaja revolusi arab. Kerana tidak mampu, rakyat Arab telah bangkit menentang pemerintah mereka. Apakah itu yang rakyat dan penduduk negara ini mahu???...

Wahai rakyat dan penduduk negara ini, kenapa begitu membenci dan menghina apabila ada orang meminta subsidi? Sedangkan permintaan sedemikian membawa kebaikan dan rahmat kepada semua.

Renung-renungkanlah......